MAIWP sumbang RM759,000 untuk masjid, surau di Labuan sempena Ramadan
LABUAN, 31 Mac (Bernama) -- Sebanyak 16 masjid, 16 surau Jumaat dan 29 surau menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM759,000 bagi aktiviti sempena Ramadan, selain untuk kebersihan dan keceriaan.
Setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM16,000, surau Jumaat (RM12,500) dan surau menerima sumbangan RM11,000, yang disampaikan oleh Setiausaha MAIWP Datuk Mohd Ajib Ismail di Dewan Al-Fateh MAIWP Labuan di sini hari ini.
Pada majlis tersebut MAIWP turut menyampaikan watikah pelantikan kepada ketua amil dan amil di pulau ini.
Mohd Ajib berkata pada tahun ini pihaknya telah melantik seramai 45 orang amil untuk tujuan kutipan zakat di 31 kawasan yang telah ditetapkan di seluruh Labuan.
“Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah menetapkan tiga kadar zakat fitrah di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya iaitu RM7, RM14 dan RM21.
“Semoga bantuan daripada MAIWP ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pengurusan masjid dan surau dalam melaksanakan program dan aktiviti keagamaan dan diharapkan amil-amil yang dilantik dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, dalam program berlainan, agensi itu turut menyampaikan sumbangan dua enjin dan sebuah bot bernilai RM27,850 kepada tiga nelayan tempatan.
-- BERNAMA