FAMA, Bank Rakyat lancar program Semarak Ramadan, dekati golongan sasar
KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Program Semarak Ramadan FAMA yang dilancar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini, akan menjelajah ke 25 lokasi di seluruh negara khususnya di luar bandar bagi menyantuni golongan asnaf.
Program yang diadakan sejak 2017 itu dilancar Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli, bersama Ketua Pegawai Risiko Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) Ahmad Shukri Abd Rahman di Ibu Pejabat FAMA.
FAMA dalam kenyataan hari memaklumkan, program itu selain bertujuan mendekatkan agensi itu dengan golongan sasar, ia juga bagi mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti kebajikan bersama komuniti setempat.
Kenyataan itu menyebut, antara lokasi penganjuran program itu adalah Masjid Kesang Tua, Jasin, Melaka; Masjid Nurul Taqzim, Beluran, Sabah dan Surau Muafakat Kampung Bendang Luas, Selama, Perak.
Kenyataan FAMA itu menyatakan, Bank Rakyat menyalurkan sumbangan bernilai RM414,000 kepada FAMA dalam bentuk kit kebajikan makanan, untuk disumbangkan kepada hampir 2,070 orang terdiri daripada golongan asnaf di seluruh negara sepanjang jelajah Ramadan itu.
“Setiap penerima akan menerima kit makanan bernilai RM200 bagi memenuhi keperluan makanan dan keperluan asas. Sumbangan ini amat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia, yang diterapkan kerajaan bagi mengetengahkan hasrat rakyat Malaysia yang prihatin dan sentiasa bersatu, untuk saling bantu membantu antara satu sama lain,” menurut kenyataan itu.
Zainal Abidin dalam kenyataan itu berkata pada setiap lokasi jelajah Ramadan itu, aktiviti penyampaian perkhidmatan FAMA dan Bank Rakyat juga akan diadakan, bagi memastikan komuniti setempat memahami peranan dan tugas yang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pihak berkepentingan.
“Jelajah Ramadan ini merupakan satu konsep yang kita perkenalkan untuk kita bergerak ke lapangan bagi menyantuni golongan yang memerlukan dan masyarakat semasa bulan Ramadan. Kita telah pun merancang 25 lokasi secara rasmi dan beberapa tempat yang tidak rasmi yang menjadikan jumlah keseluruhan ke 30 lokasi di seluruh negara.
“Saya juga mengucapkan terima kasih atas nilai sumbangan yang diberikan oleh Bank Rakyat terhadap program semarak Ramadan ini bagi menyantuni golongan yang memerlukan semasa bulan Ramadan ini,” katanya.
-- BERNAMA