Masjid, surau di Sabah dibenar beroperasi kapasiti penuh mulai esok

31/03/2022 07:35 PM

KOTA KINABALU, 31 Mac (Bernama) -- Semua masjid dan surau di Sabah dibenar beroperasi dengan kapasiti penuh bagi melaksanakan solat berjemaah tanpa bersentuh fizikal antara jemaah berkuat kuasa esok.

Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata saf antara satu jemaah dengan jemaah lain adalah berdasarkan saiz sejadah yang digunakan, dan sejadah tersebut mestilah dibawa sendiri oleh setiap jemaah.

Beliau yang menerima maklumat daripada Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 Sabah menerusi Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas negeri itu berkata kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) tersebut juga terpakai bagi solat Jumaat dan solat sunat tarawih sepanjang Ramadan akan datang.

“Pada tahun ini, kita (Sabah) telah diberikan sedikit kelonggaran dengan membenarkan semua masjid beroperasi dengan kapasiti 100 peratus dan penjarakan fizikal berdasarkan saiz sejadah.

“Maksudnya, saiz sejadah yang biasa dipakai...tidak terlampau kecil dan tidak juga besar. Saf rapat, tapi tidak rapat sangat, (para jemaah) tidak bertemu bahu dan tidak bertemu kaki kerana (masing-masing) ikut saiz sejadah.

“Alhamdulillah, saya fikir lebih daripada separuh kapasiti atau para jemaah sudah boleh masuk (menunaikan solat jemaah) di surau dan masjid,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan kadar zakat fitrah Sabah bagi 2022 di sini, hari ini.

Bungsu berkata Sabah masih mengekalkan SOP solat berjemaah di surau dan masjid seperti ditetapkan sebelum ini iaitu memadai hanya lengkap dua dos vaksinasi COVID-19.

“Sekiranya tiada dos penggalak tidak mengapa, yang penting individu solat berjemaah di surau dan masjid lengkap dua dos vaksin,” katanya sambil menambah, SOP pemakaian pelitup muka masih dikekalkan termasuk tidak ada sentuhan fizikal seperti bersalam-salaman.

Selain itu, jamuan moreh turut dibenarkan tetapi secara berbungkus, manakala aktiviti tadarus al-Quran juga dibolehkan dengan had masa sekurang-kurangnya dua jam, katanya.

-- BERNAMA