Agong berkenan berangkat ke Program Ziarah Kasih di Pulau Tioman

31/03/2022 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan Program Ziarah Kasih di Kampung Mukut, Pulau Tioman, Pahang hari ini.

Menurut kenyataan yang dikongsi menerusi akaun Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berkenan meluangkan masa hampir dua jam daripada 12 tengah hari menyantuni dan beramah mesra bersama penduduk setempat.

Turut mengiring ialah anakanda Seri Paduka, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Puteri Ilisha Ameera, Tengku Puteri Iliyana, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 10 keluarga asnaf dan empat buah masjid serta sebuah surau di kampung itu sempena menjelang bulan Ramadan.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 25 murid daripada keluarga asnaf di Sekolah Kebangsaan Kampung Mukut,” menurut kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan meluangkan masa berangkat meninjau rumah baharu yang dibina untuk keluarga asnaf di bawah program bantuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Pada 29 dan 30 Mac lepas, Al-Sultan Abdullah telah menyempurnakan Program Ziarah Kasih di Kampung Tekek dan Kampung Juara, Pulau Tioman serta mengurniakan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan bantuan.

Baginda turut berkenan meluangkan masa mendengar permintaan dan keperluan penduduk setempat serta berkongsi pandangan bagi meningkatkan lagi keselesaan dan kemudahan rakyat di Tioman dalam program Ziarah Kasih ke Kampung Mukut, Kampung Juara dan Kampung Tekek itu. 

-- BERNAMA