Persidangan Dewan Negara ditangguh

31/03/2022 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 Dewan Negara yang berlangsung sejak 21 Mac lepas ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sepanjang persidangan lapan hari itu, Dewan Negara meluluskan tujuh rang undang-undang selepas kesemua rang undang-undang tersebut dibentang dan dibahas para senator. 

Antara rang undang-undang yang diluluskan sepanjang persidangan ini ialah Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2021) 2022 dan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022.

Selain itu, turut diluluskan hari ini ialah Rang Undang-Undang Syarikat Labuan (Pindaan) 2022 ; Rang Undang-Undang Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan (Pindaan) 2022; dan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan (Pindaan) 2022.

Persidangan kali ini juga menyaksikan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 26 kementerian selesai menggulung perbahasan yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 Mac.

Hari terakhir persidangan turut menyaksikan usul yang dibawa Senator Muhammad Zahid Md Arip berkenaan aplikasi MySejahtera dibahaskan oleh 12 Ahli Dewan Negara, disusuli penggulungan daripada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Semasa menggulung usul tersebut, Khairy berkata setiap data dan maklumat yang diperoleh menerusi penggunaan aplikasi MySejahtera, adalah hak milik penuh dan mutlak kerajaan Malaysia.

Justeru, Khairy memberi jaminan segala data yang tersimpan dalam pangkalan data MySejahtera adalah terpelihara, dan hanya bagi tujuan kawalan pandemik oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim sebelum mengumumkan penangguhan Dewan Negara berkata pihaknya akan membawa butiran usul tersebut kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah.

Beliau turut mengingatkan para senator untuk menjaga prosedur operasi standard kerajaan dalam tempoh sambutan Ramadan. 

-- BERNAMA