JBPM Melaka periksa 320 premis pastikan keselamatan pengunjung ketika Ramadan

01/04/2022 11:24 AM

MELAKA, 1 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka akan memeriksa kira-kira 320 premis perniagaan merangkumi pusat beli-belah, dewan orang ramai dan hotel bagi memastikan keselamatan pengunjung sepanjang Ramadan ini.

Pengarahnya, Abu Bakar Katain berkata pemeriksaan tersebut akan bermula seminggu selepas umat Islam menyambut Ramadan dan akan berlanjutan hingga dua minggu selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Pemeriksaan tersebut akan dilaksanakan pasukan bomba di setiap daerah dan zon, antara perkara yang dititikberatkan dalam pemeriksaan premis adalah keperluan peralatan kebakaran dan laluan kecemasan yang boleh digunakan pengunjung untuk menyelamatkan diri jika berlaku kebakaran.

“Ini kerana pada kebiasaannya, premis perniagaan akan menambah stok barangan mereka menjelang sambutan Aidilfitri dan meletakkannya di tangga-tangga premis sekali gus menghalang laluan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau berkata mana-mana premis yang tidak mematuhi peraturan akan diberikan notis dan boleh didenda sehingga RM5,000 jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata pihaknya mengenal pasti tiga 'kawasan panas' sering berlaku kebakaran pada musim kemarau di negeri berkenaan membabitkan Merlimau, Jasin dan Masjid Tanah di Alor Gajah.

Justeru, katanya beliau telah mengarahkan balai-balai bomba di seluruh daerah untuk menjalankan rondaan secara berkala bagi memantau keadaan semasa tempat-tempat terbabit terutama di kawasan bertanah gambut.

Beliau berkata pihaknya telah membuat persiapan logistik yang lengkap untuk proses memadam kebakaran di kawasan-kawasan yang dikenal pasti.

-- BERNAMA