Perantau, pengembara Malaysia di Singapura terharu dapat sambut Ramadan bersama keluarga

01/04/2022 06:41 PM

JOHOR BAHRU, 1 April (Bernama) -- Ramadan yang dijangka bermula Ahad ini pastinya meriah apabila ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dapat pulang dan menyambut kedatangan bulan mulia bersama keluarga tersayang selepas pembukaan semula sempadan hari ini.

Seorang pekerja teknikal yang mahu dikenali sebagai Wafiey, 28, berkata Ramadan kali ini pastinya istimewa kerana dapat disambut bersama isteri dan ahli keluarganya di Kota Tinggi.

Wafiey yang bekerja di republik itu sejak empat tahun lepas berkata cuti yang diperolehnya selama lima hari, akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat bersama keluarga, selain menjalankan ibadah puasa dan tarawih bersama keluarganya 

"Saya ambil cuti tidak lama, sebab saya hendak simpan untuk Raya Aidilfitri. Alhamdulillah, majikan saya amat memahami keadaan kami. Perasaan kami hanya tuhan sahaja yang tahu betapa seronok dan rindunya pada keluarga.

“Bayangkan hampir dua tahun berpuasa sendirian, jadi saya sangat bersyukur," katanya yang baru berkahwin 30 Mei tahun lepas,” katanya ketika ditemui di Terminal Larkin Sentral, di sini hari ini.

Senada dengan Wafiey,  Aisya Abdullah, 40, berkata pembukaan sempadan bukan sahaja memberi peluang pada mereka yang berada di perantauan untuk menjenguk ahli keluarga yang lama ditinggalkan, malah paling utama memperbaiki dan memulihkan emosi mereka yang jauh dari keluarga sejak sekian lama.

Beliau yang tiba dengan menaiki bas dari Singapura berkata, beliau akan pulang ke rumah ibu bapanya di Melaka selepas membeli tiket dalam talian.

"Hanya kami yang merasai 'seksa' berjauhan dari keluarga. Apabila kita dah boleh balik ke Malaysia ni, ia umpama hadiah untuk kami, apatah lagi kita nak sambut bulan Ramadan.

“Jadi masa selama empat hari ini saya cuma nak berehat, sambut Ramadan dengan keluarga dan pusing-pusing di kawasan saya," kata anak anak pertama dari tiga beradik itu.

Sementara itu tinjauan Bernama di beberapa kawasan khususnya pintu keluar masuk seperti di Johor Bahru Sentral juga mendapati jumlah kenderaan semakin meningkat manakala di Terminal Larkin Sentral juga mendapati keadaan agak 'meriah' dengan kedatangan pengunjung termasuk yang baru tiba dari Singapura, juga bagi mendapatkan tiket ke destinasi masing-masing

Pengurus Larkin Sentral Mohd Helmi Mohd Affendi berkata pihak pengurusan telah bersedia termasuk dari segi penyediaan prosedur operasi standard (SOP), bagi menerima kehadiran pengunjung terutama yang baru datang dari Singapura.

"Bermula 1 -7 April, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan akan menghantar 30 polis untuk pantau keselamatan dan SOP di sini. 

"Selain itu, ingin saya sarankan agar lebih mudah beli tiket di golarkin.com.my sebab di atas tiket sudah dah ada QR Code untuk terus masuk ke balai berlepas, tak perlu beratur di kaunter tiket untuk tukar boarding pass," katanya.

Baru-baru ini Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata dianggarkan kira-kira 400,000 pekerja Malaysia di Singapura serta pengembara dari negara republik itu akan merentasi sempadan Johor-Singapura susulan pembukaan semula sempadan bermula hari ini.

-- BERNAMA