PPZ-MAIWP lancar Kempen Ramadan Penuh Makna, beri galakan tunai zakat
KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan Kempen Ramadan Penuh Makna yang akan berlangsung sepanjang Ramadan ini.
PPZ-MAIWP dalam kenyataan berkata kempen itu bertujuan memberi galakan kepada masyarakat Islam di negara ini menunaikan zakat pada bulan Ramadan selain menguar-uarkan perkhidmatan dan saluran bayaran serta program-program menarik sepanjang bulan puasa tahun ini.
Istimewanya kempen kali ini PPZ-MAIWP menawarkan pelbagai hadiah menarik khas buat pembayar zakat harta dan fitrah melalui saluran bayaran yang disediakan antaranya 10 kaunter PPZ-MAIWP, perkhidmatan kaunter zakat digital, perkhidmatan door-to-door, saluran bayaran dalam talian, ejen kutipan zakat dan zakat virtual.
"Pembayar yang menunaikan zakat harta di mana-mana saluran bayaran PPZ-MAIWP berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti Pakej Umrah dan Pakej Ziarah, manakala bagi pembayaran zakat fitrah secara dalam talian pula berpeluang memenangi hadiah seperti sejadah dan telekung eksklusif, jam tangan, baucar makanan dan banyak lagi.
"PPZ-MAIWP ingin membawa pembayar zakat dan asnaf untuk bersama-sama meraikan Ramadan dengan penuh ketakwaan dan memenuhinya dengan amal-amal kebaikan melalui pelbagai pengisian yang dirangka khas sepanjang kempen ini," menurut kenyataan itu.
Terdahulu majlis pelancaran Kempen Ramadan Penuh Makna itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman.
Sementara itu PPZ-MAIWP memaklumkan pihaknya turut menyediakan pelbagai program dan aktiviti menarik seperti Jom Ngaji, Mencari Lailatul Qadar, kuiz dan pertandingan serta banyak lagi pengisian ilmiah agar Ramadan kali ini lebih bermakna dari tahun-tahun sebelumnya.
"Semua masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan diseru merebut keberkatan Ramadan dengan menunaikan zakat untuk mengembalikan hak asnaf sebanyak 2.5 peratus yang terdapat dalam harta kita ini agar asnaf-asnaf ini dapat disantuni dan bergembira di Hari Raya Aidilfitri seperti umat Islam yang lain," menurut kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen itu, layari laman sesawang www.zakat.com.my/ramadan2022/ dan sebarang kemusykilan atau persoalan zakat, hubungi talian zakat di 1300 88 5757 atau e-mel kepada info@zakat.com.my/Facebook Messenger Pusat Pungutan Zakat.
-- BERNAMA