Presiden AS, PBB ucap selamat menyambut 'Ramadan Kareem'

02/04/2022 11:01 AM

WASHINGTON, 2 April (Bernama) -- Presiden Joe Biden mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada masyarakat Islam di Amerika Syarikat (AS) dan di seluruh dunia,  lapor Agensi Anadolu (AA).

"Saya dan isteri (Jill) mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada masyarakat Islam di AS dan di seluruh dunia.

“Masyarakat bersama berkumpul mengamalkan sikap memaafkan dan berdaya tahan, menunjukkan rasa simpati dan kemurahan hati kepada mereka yang memerlukan serta menyambutnya dengan penuh kenikmatan bersama insan tersayang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat 

Beliau berkata "kita juga mesti meneruskan" usaha menyokong golongan rentan, mereka yang memerlukan dan yang sedang menghadapi kesukaran.

AS juga akan bersuara untuk hak asasi manusia, termasuk untuk Uyghur di China, Rohingya di Myanmar serta masyarakat Islam lain di seluruh dunia. 

"Daripada keluarga Biden kepada anda, dan dari Rumah Rakyat ke rumah anda, Jill dan saya berharap anda dan insan tersayang sentiasa diberkati dan sejahtera. Ramadan Kareem!," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada lebih dua bilion umat Islam di dunia.

Beliau akan menyambung semula tradisi dengan melawat negara yang majoritinya Islam sebagai lambang solidariti dan berbuka puasa dengan komuniti Islam.

"Di bulan mulia ini, dan setiap hari marilah kita bekerjasama untuk keselamatan, maruah dan kemakmuran semua wanita dan lelaki. Marilah kita belajar antara satu sama lain, dan bersama-sama membina dunia yang aman. Ramadan Kareem," katanya.

-- BERNAMA