Ramadan: Pasar Besar Kota Kinabalu kembali meriah

02/04/2022 02:59 PM

KOTA KINABALU, 2 April (Bernama) -- Persiapan menyambut Ramadan di Sabah kembali meriah apabila orang ramai khususnya masyarakat Islam di bandar raya ini mula mengunjungi Pasar Besar Kota Kinabalu di sini, seawal 7 pagi tadi.

Tinjauan Bernama di pasar awam tersebut mendapati orang ramai memilih untuk membeli pelbagai bahan mentah seperti sayur-sayuran, ayam, ikan, daging dan telur sebagai persediaan Ramadan termasuk mengadakan kenduri kesyukuran secara kecil-kecilan bagi menyambut kedatangan bulan mulia itu. 

Suri rumah Alina Tanduk, 52, berkata beliau sangat gembira dan bersyukur atas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang membolehkan orang ramai berkunjung ke pasar awam bagi mendapatkan barangan keperluan untuk menyambut bulan Ramadan kali ini. 

"Saya beli barangan keperluan ini untuk seminggu," katanya ketika ditemui Bernama di pasar awam itu, hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Sarina Samiun, 41, berkata meskipun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik semalam (1 April) dengan pelbagai kelonggaran SOP, beliau akan sentiasa menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka sebagai pelindung diri daripada COVID-19.

"Persiapan Ramadan kali ini lebih meriah berbanding dua tahun lepas. Walaupun masih tertakluk kepada SOP, ramai juga berkunjung ke pasar untuk membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Ramadan esok,” kata penjawat awam berasal dari Sandakan itu.

Bagi Mohd Abas Ibrabim, 35, dari Menumbok, beliau memanfaatkan sepenuhnya peluang ke pasar untuk membeli barangan kering dan basah seperti udang, ikan, mi dan cendol untuk keperluan bersahur dan juadah berbuka puasa selama tiga hari. 

Peniaga, Mel Abdullah berkata suasana pasar awam menjelang Ramadan kali ini lebih meriah berbanding dua tahun sebelum ini berikutan pelaksanaan SOP yang ketat

"Saya sampai di pasar awam ini seawal 5.30 pagi dan pukul 6 pagi lagi orang ramai sudah mula memenuhi pasar," katanya yang menawarkan harga berpatutan untuk sayur-sayuran iaitu sekitar RM3 hingga RM5. 

Pendapat sama turut disuarakan seorang lagi peniaga Mohd Firdaus Mursidi, 20, yang melahirkan rasa syukur kerana orang ramai berkunjung ke gerainya bagi membeli barangan kering termasuk pelbagai jenis mi dan bahan masakan lain. 

"Alhamdulillah, hari ini sangat meriah, tidak seperti sebelum ini kurang orang dan pendapatan pun kurang. Semoga (suasana pasar awam meriah dengan orang ramai membeli barangan keperluan) kekal seperti tahun-tahun sebelum ini (pandemik),” katanya.

-- BERNAMA