Premium Outlet di Batu Gajah dibuka selepas selesai persiapan akhir

02/04/2022 03:24 PM

GERIK, 2 April (Bernama) -- Pusat perniagaan berasaskan keindahan tasik dan alam semula jadi, Premium Outlet Perak di Batu Gajah yang sepatutnya dibuka pada hujung tahun 2020, dijangka beroperasi sebaik selesai persiapan akhir.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya dimaklumkan pembukaan gedung beli-belah berkonsepkan alam semula jadi yang diberi nama ‘Silverlake Brand Village Outlet’ itu, akan dibuat secepat mungkin sekali gus menjadi destinasi baharu pelancongan di Lembah Kinta.

"Ini merupakan projek swasta dan tidak boleh dipaksa bila hendak dibuka, tetapi apa yang dilaporkan kepada saya semasa hadir ke tempat itu, mereka sebolehnya ingin segera bermula tetapi mungkin masih ada persiapan terakhir.

"Ia termasuk permohonan kepada Jabatan Kerja  Raya supaya meluaskan jalan masuk, jadi kami akan berkolaborasi dengan mereka kerana lagi cepat dibuka lebih baik termasuk kepada peniaga lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penanaman permulaan Ladang Durian Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di Ladang Ayer Kala, Lenggong di sini, hari ini.

Baru-baru ini, gedung perniagaan di kawasan seluas 13.35 hektar itu yang secara fizikalnya telah siap dibina tetapi masih belum dibuka kepada umum hingga kini, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warga Perak.

Dalam perkembangan lain,  Saarani berkata berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Pertanian negeri, sepanjang tahun lepas Perak telah mengeksport hasil pengeluaran durian dalam bentuk produk tanaman segar dan proses ke empat negara iaitu Australia, China, Hong Kong dan New Zealand.

"Keseluruhan eksport melibatkan empat negara ini menerusi produk tanaman segar adalah 416,700 kilogram (kg), manakala produk proses pula sekitar 98,265kg. 

"Daripada dapatan ini membuktikan potensi eksport durian sejuk beku ke pasaran berkenaan amat besar dan peluang seumpama ini harus diteroka serta digunakan sebaiknya oleh PPPNP dan pengusaha durian di Perak bagi mengoptimumkan pendapatan," katanya.

Menurutnya PPPNP juga merancang untuk melaksanakan pembangunan projek penanaman durian di beberapa ladang miliknya di seluruh negeri, membabitkan keluasan sekitar 628 hektar dan anggaran kos RM44.41 juta pada tahun ini, dengan antara varieti utama durian yang akan ditanam seperti Musang King, Duri Hitam dan D99.  

Dalam pada itu, Saarani berkata 107 lokasi bazar Ramadan bakal beroperasi di seluruh Perak membabitkan 5,589 tapak gerai bermula esok, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan COVID-19.

-- BERNAMA