Amal norma baharu di masjid, surau untuk cegah kluster baharu - Pengarah Kesihatan Labuan

02/04/2022 04:21 PM

LABUAN, 2 April (Bernama) -- Anggota jemaah masjid dan surau mestilah terus mengamalkan norma baharu bagi mencegah kluster COVID-19 di rumah ibadat itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata meskipun negara kini dalam fasa peralihan ke endemik, penularan virus tersebut masih boleh berlaku.

“Dalam fasa peralihan ini, tiada lagi sekatan di masjid dan surau dari segi penjarakan fizikal tetapi itu tidak bermakna kita boleh bersikap sambil lewa.

“Varian Omicron masih menular secara meluas dalam komuniti, sebolehnya elakkan tempat sesak,” katanya pada pelancaran Kempen Ramadan Bebas COVID-19 di Desa Tunas Hijau di sini hari ini.

Beliau berkata masjid dan surau perlu beroperasi mengikut norma baharu bagi mengelakkan kluster baharu, termasuklah mengamalkan penjarakan fizikal dan hanya individu sihat dibenarkan hadir.

“Ini tidak boleh disangkal. Peluang untuk datang ke masjid perlu diuruskan sebaiknya untuk mengelakkan kluster masjid,” katanya.

Beliau berkata petugas kesihatan akan ditempatkan di masjid dan surau tertentu untuk memberi nasihat dan memantau situasi.

Dr Ismuni turut memaklumkan bilangan kes aktif di pulau bebas cukai ini masih melebihi 300 kes.

Semasa fasa peralihan ke endemik, solat dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau serta rumah ibadat yang lain boleh dijalankan tanpa penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, pelaksanaan dan prosedur operasi standard tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri (untuk masjid/surau) dan Kementerian Perpaduan Negara (rumah ibadat bukan Islam).

Pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan.

-- BERNAMA