Fazura lancar aplikasi gaya hidup Islamik, ‘Mukmin Pro’

02/04/2022 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 2 April -- Menjelang bulan Ramadan, pelakon dan usahawan terkemuka Nur Fazura Sharifuddin atau lebih popular sebagai Fazura melancarkan sebuah aplikasi telefon mudah alih berkonsepkan gaya hidup Muslim dikenali sebagai Mukmin Pro.

“Alhamdulillah, saya bersyukur satu lagi impian telah dimakbulkan. Mukmin Pro merupakan aplikasi yang menawarkan pelbagai ciri dan perkhidmatan, menghubungkan umat Islam seluruh dunia termasuk mereka yang berminat mendekati Islam,” katanya selepas majlis pelancaran di sebuah hotel terkemuka di ibu negara semalam.

Tambahnya lagi, salah keunikan aplikasi tersebut berbanding dengan aplikasi lain sedia adalah aplikasi ini mengandungi pelbagai video Islamik terbaik yang sesuai untuk semua peringkat umur. Ia juga dikemas kini setiap hari daripada navigasi video seperti YouTube dan TikTok.

Menerusi aplikasi ini, para pengguna juga berpeluang menyertai program secara atas talian seperti kelas mengaji dan Tafsir Al-Quran, wakaf quran dan juga infaq makanan selain dapat melaksanakan amalan mulia seperti ibadah Qurban, Aqiqah yang dijalankan di Mekah dengan mudah berserta pakej-pakej menarik dan mampu milik.

“Saya berharap pelancaran aplikasi ini dapat memudahkan semua pengguna melakukan ibadah pada setiap hari walau dimana jua berada. 

"Ramadan kali ini, saya berdoa agar kita semua dapat melakukan lebih banyak ibadah bersama-sama belajar apa juga yang berada di dalam aplikasi ini,” jelasnya kepada Bernama.

Selain itu, aplikasi ini turut dilengkapi dengan rangkaian audio bacaan zikir, doa-doa harian dan surah Al-Quran, waktu solat, Azan, navigasi Qiblat, navigasi masjid berdekatan yang boleh diakses secara percuma oleh pengguna.

Aplikasi ‘Mukmin Pro’ kini boleh dimuat turun melalui aplikasi ‘Apps Store’ dan ‘Google Play’ secara percuma

-- BERNAMA