FAMA hidupkan semula Bazar Ramadan Asia City bantu peniaga tambah pendapatan

02/04/2022 06:39 PM

KOTA KINABALU, 2 April (Bernama) --  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu “menghidupkan semula” Bazar Ramadan di Asia City di sini selepas dua tahun “berehat” bagi membantu peniaga menambah pendapatan.

Pegawai FAMA Kota Kinabalu Saibe Mohamad Saidol bagaimanapun berkata jumlah lot gerai terpaksa dihadkan kepada 73 sahaja dan disusun mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk jarak antara gerai dan penyediaan mengimbas aplikasi mySejahtera bagi mengawal menularan COVID-19.

"Mereka (para peniaga) tertunggu-tunggu (untuk berniaga di bazar Ramadan), malah selama dua tahun ini pun mereka ada memohon supaya bazar Ramadan dibuka, namun kerana pandemik ia tidak dibenar beroperasi. 

Sekarang (Bazar Ramadan) telah dibenarkan (beroperasi) dan ada kelonggaran. Rata-rata pemohon rasa bersyukur... orang cakap (Bazar Ramadan) punca rezeki kebanyakan peniaga Bazar Ramadan," katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga penyelaras Bazar Ramadan di Asia City itu berharap para peniaga dan pengunjung dapat bersama-sama mematuhi SOP ditetapkan dan mengadaptasi suasana norma baharu Bazar Ramadan.

Sementara itu, rata-rata peniaga yang ditemui gembira dengan kebenaran penganjuran Bazar Ramadan pada kali ini, dengan ada antara mereka sudah membuat persiapan untuk berniaga mulai esok. 

Seorang peniaga Suriani Amir, 42, berkata beliau akan menggunakan sepenuhnya kebenaran penganjuran Bazar Ramadan itu sebagai peluang menjana pendapatan sampingan memandangkan sudah dua tahun tidak berniaga di bazar seperti itu.

Perasaan sama turut dikongsikan oleh Jessy Nur Ain Majinam Abdullah, 41, yang selama dua tahun kebelakangan ini meneruskan peniagaan kuih muih dan pastri diusahakannya secara dalam talian. 

"Alhamdulillah kerana dapat berniaga semula di Bazar Ramadan dan ini peluang untuk menjana pendapatan. Saya berharap Bazar Ramadan kali ini lebih meriah," katanya, yang turut menyediakan aplikasi e-Dompet bagi memudahkan orang ramai membayar tanpa tunai. 

Jessy Nur Ain berkata beliau menjual pelbagai jenis kuih muih tradisional, pastri dan kek pada harga berpatutan antara RM2 hingga RM10.

-- BERNAMA