Program Jualan Semarak Ramadan diteruskan di 82 outlet FAMA

02/04/2022 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Program Jualan Semarak Ramadan akan diteruskan di 82 lokasi outlet  FAMA  di seluruh negara.

FAMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan ini termasuk 62 lokasi di Pasar Tani, 16 lokasi di Pasar Tani Kekal, dua lokasi di MyFarm Outlet dan dua lokasi di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). 

“Antara pengisian Program Jualan Semarak Ramadan @ Pasar Tani ini adalah edaran buah kurma dan produk usahawan kepada pengunjung serta jualan waktu ria  bagi produk buah-buahan dan ‘showcase’ menu nostalgia berbuka puasa. Turut diadakan juga sumbangan kepada rumah anak yatim,” menurut kenyataan itu. 

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Abdul Rashid Bahri melancarkan Program Jualan Semarak Ramadan @ Pasar Tani Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Kelana Jaya, Selangor hari ini bagi  menguar-uarkan kepada orang ramai mengenai pengoperasian pasar tani berkenaan. 

Program itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan dan makanan termasuk bekalan bahan mentah berkualiti dengan harga yang berpatutan sempena menyambut Ramadan.

Dalam kenyataan itu, Rashid berkata peluasan skop Program Jualan Semarak Ramadan @ Pasar Tani itu bertujuan menghargai pengunjung pasar tani yang sentiasa hadir mendapatkan barangan dapur dalam persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadan esok.

Menurut kenyataan itu, Rashid turut menyerahkan sumbangan kepada 50 anak yatim dari Pertubuhan Pusat Jagaan Baitul Hidayah dalam majlis berkenaan. 

Untuk rekod, nilai jualan pasar tani di seluruh negara pada tahun lepas berjumlah RM170 juta manakala sehingga Februari 2022, nilai jualan sebanyak RM42 juta dicatatkan dan melibatkan 10,868 usahawan di 270 lokasi pasar tani seluruh negara.

-- BERNAMA