Ramadan: Rapatkan Saf, Teguhkan Kembali Silaturahim Umat Islam
Oleh Balkish Awang
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ramadan tiba lagi. Bulan penuh barakah yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam bagi memburu pahala berganda menerusi ibadah dan amal kebajikan yang mereka lakukan.
Justeru, selain menunaikan Rukun Islam ketiga - berpuasa pada bulan Ramadan - rata-rata umat Islam menghabiskan bulan mulia ini dengan beribadat dan melakukan amal kebajikan sebanyak mungkin, mengharapkan keredaan dan ganjaran daripada Yang Maha Esa.
Bagi umat Islam di negara ini, ketibaan Ramadan 2022 amat ditunggu-tunggu bagi mengubat rindu beribadat secara berjemaah di masjid dan surau, selepas dua tahun berturut-turut bulan mulia itu diraikan dalam keterbatasan Perintah Kawalan Pergerakan dek penularan COVID-19.
Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lepas tentang negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik antara lain menyaksikan hampir keseluruhan sekatan yang dikenakan sebelum ini termasuk berkaitan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau, ditarik balik bermula 1 April lalu.
BERSYUKUR
Menyentuh persiapan menyambut Ramadan kali ini, pendakwah bebas Asni Abu Mansor berkata umat Islam harus bersyukur dan memanfaatkan sepenuhnya “kebebasan” mengimarahkan masjid dan surau yang diberikan itu.
"Alhamdulillah, (kita) dibenarkan ke masjid seperti biasa. Ini satu manfaat besar kepada kita semua kerana sudah boleh beramai-ramai di masjid pada Ramadan ini. Tiada lagi penjarakan fizikal, bermakna peluang untuk kita eratkan silaturahim,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut mengajak umat Islam memenuhi bulan Ramadan kali ini dengan lafaz kesyukuran kerana terselamat ketika mengharungi ujian COVID-19.
"Syukuri nikmat Allah ini kerana kita diberi kesempatan untuk bertemu lagi dengan Ramadan 2022 ini. Ada yang sudah ‘pergi’ disebabkan COVID-19, dan Ramadan 2021 adalah yang terakhir buat mereka. Justeru, kita yang masih diberi peluang untuk menunaikan ibadah puasa dan solat sunat tarawih, bersyukurlah.
“Sentiasa sematkan perasaan bersyukur kerana ini melatih kita menjadi orang yang bahagia. Kita bukan tidak bahagia sebenarnya tetapi kita yang kurang bersyukur," jelas beliau.
PELUANG IMARAHKAN MASJID, SURAU
Sementara itu, pendakwah selebriti Dr Taha Mohd Omar pula mengajak umat Islam menghidupkan masjid dan surau termasuk di tempat kerja dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran menerusi kegiatan tadarus.
"Adakan juga majlis berbuka puasa dan tazkirah serta solat fardu maghrib, isyak dan sunat tarawih kerana sejak 2020 hingga sekarang (Mac 2022), (kita) tidak dapat ke masjid secara beramai-ramai,” katanya yang juga Pengarah Codam Education & Consultancy Centre.
Beliau turut mengajak umat Islam memperbanyak solat sunat hajat sepanjang Ramadan ini, memohon secara lebih khusus kepada Yang Maha Berkuasa agar mempermudah penemuan penawar COVID-19, sekali gus “membebaskan” dunia daripada cengkaman jangkitan maut itu.
"Jadi bila kita menghidupkan rumah Allah bersempena bulan mulia ini, maka rahmat Allah SWT akan turun. Apatah lagi jika kita menjalankan majlis seperti solat sunat hajat dan meminta doa dengan lebih khusus untuk Allah menghilangkan langsung penyakit COVID-19 ini, lantaran itu kehidupan kita akan lebih stabil, ekonomi stabil dan ukhuwah di masjid serta kejiranan juga akan lebih baik," katanya.
Pendakwah itu juga menyarankan penyediaan jadual untuk seisi keluarga bersama-sama memuliakan bulan Ramadan ini dengan amal ibadah seperti jadual membaca al-Quran, berzikir dan berselawat setiap hari.
Letakkan sasaran untuk melakukan ibadah dan amal kebajikan lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelum ini, katanya.
HIKMAH RAPATKAN SAF
Selain itu, Naib Juara program Mimbar Pencetus Ummah 2015 musim ketiga itu juga berkata terdapat pelbagai hikmah di sebalik gesaan “merapatkan saf” yang sering diucapkan oleh imam sebelum solat berjemaah namun tidak dapat dilakukan sejak dua tahun lepas.
"Terdapat sepotong hadis yang mana Nabi Muhammad SAW ada menyebut ‘Luruskanlah saf kalian, aku melihat kalian dari belakangku, lantas salah seorang daripada kamu mendekatkan bahunya pada rakannya, lalu kakinya didekatkan pada kaki rakannya.’
“Di sini dapat kita lihat bahawa Nabi Muhammad SAW bukan saja menegaskan untuk (kita) meluruskan saf tetapi juga merapatkan saf hingga bahu menyentuh bahu orang sebelah kita dan kaki menyentuh kaki orang sebelah kita," katanya.
Jelasnya, makna yang boleh dihayati menerusi perbuatan rapatkan saf itu adalah kesatuan hati.
“Apabila badan kita rapat, saf kita lurus, ini menunjukkan hubungan kita rapat dan hati kita lurus (jujur). Justeru, rebutlah peluang kebenaran ‘merapatkan saf’ ini, antaranya mengenali rakan jemaah di sebelah yang mungkin kita tidak kenali sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, saf yang rapat ketika solat berjemaah juga dapat menghindarkan diri seseorang jemaah daripada gangguan syaitan ketika bersolat, sekali gus menyumbang kepada kesempurnaan ibadat itu.
Susulan kelonggaran sekatan itu, pihak berkuasa agama hampir di seluruh negara membenarkan pelaksanaan solat berjemaah, solat sunat tarawih hingga 20 rakaat, majlis berbuka puasa, bermoreh atau jamuan ringan selepas tarawih serta bersahur di masjid dan surau.
Aktiviti tadarus, kuliah agama juga dibenarkan dengan hampir semua negeri menetapkan syarat yang sama iaitu jemaah membawa sejadah sendiri selain lengkap vaksinasi COVID-19.
KEKAL JAGA SOP
Sementara itu, Taha turut mengingatkan masyarakat agar tidak alpa dengan “kebebasan” yang diberikan kali ini.
"Janganlah kita berkumpul dalam jangka masa yang terlalu panjang dalam satu majlis, dibimbangi ada kebarangkalian untuk virus atau selesema daripada orang-orang yang kita tidak tahu boleh menjangkiti ahli keluarga kita,” katanya.
Kelonggaran sekatan itu juga menyaksikan kebenaran pengoperasian bazar Ramadan.
Justeru, masyarakat diingatkan agar tidak lalai dengan prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka yang masih berkuat kuasa di tempat tumpuan awam.
Peniaga juga diharap tidak mengambil kesempatan dengan meletakkan harga “kayangan” selain memastikan kualiti juadah yang dijual terjamin.
BERNAMA