Bekalan keperluan asas di P.Pinang mencukupi
GEORGE TOWN, 4 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang memberi jaminan bekalan keperluan asas di negeri itu sepanjang Ramadan ini adalah mencukupi.
Pengarahnya Mohd Ridzuan AB Ghapar berkata jaminan itu diperoleh berdasarkan operasi dan pemantauan yang dijalankan pihaknya menerusi Op Pantau 2022 di seluruh Pulau Pinang semalam.
"Dalam operasi tersebut, sebanyak 109 premis telah diperiksa iaitu melibatkan premis yang beroperasi di bazar Ramadan, bazar hari raya, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar raya, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.
"Pemeriksaan mendapati premis-premis yang beroperasi mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan dan operasi itu juga bagi memastikan keberadaan bekalan barangan yang menjadi keperluan pengguna semasa Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya menerusi operasi tersebut juga, pihaknya membuat pemeriksaan serta pemantauan ke atas harga atau penandaan harga bagi memastikan ia dipatuhi mengikut warta Kerajaan dan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang.
Beliau berkata KPDNHEP Pulau Pinang memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyorok barang kawalan semasa bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
-- BERNAMA