Tersalah berbuka awal ikut azan radio, puasa batal, wajib diganti
KOTA KINABALU, 4 April (Bernama) -- Mereka yang tersalah berbuka puasa kerana mengikut azan maghrib di radio yang disiarkan awal daripada waktunya, puasanya dikira terbatal dan wajib digantikan setelah berakhirnya bulan Ramadan mengikut hukum syarak, kata Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar.
Beliau berkata usaha radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu solat dan berbuka puasa merupakan usaha murni sangat baik, namun radio perlulah lebih teliti dan cermat bagi mengelakkan insiden menyiarkan azan awal daripada waktunya berulang pada masa depan.
“Umat Islam hendaklah sentiasa cermat dan berhati-hati berkaitan waktu berbuka puasa. Sehubungan itu, adalah disarankan kepada umat Islam agar merujuk kepada takwim berbuka puasa dikeluarkan pihak berautoriti demi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi.
“Waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit pada ketika itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada hari pertama umat Islam berpuasa semalam, seorang penyampai stesen radio tempatan di Tawau tersilap menyiarkan azan maghrib empat minit lebih awal di daerah tersebut dan kejadian itu tular dalam media sosial sehingga netizen mendakwa ada penduduk tersilap berbuka puasa akibat kejadian itu.
Penyampai tersebut Mohd Safwan Junit menerusi akaun Facebooknya meminta maaf dan mengakui kesilapannya selain menjelaskan berlaku kesilapan teknikal dengan penyiaran dua kali azan maghrib iaitu pada 6.16 petang dan 6.20 petang.
-- BERNAMA