Lazada bekerjasama dengan IRM kumpul dana untuk masyarakat kurang berkemampuan
KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Lazada Malaysia bekerjasama dengan Islamic Relief Malaysia (IRM) dalam usaha mengumpul dana sebanyak RM2.3 juta bagi membantu 40,000 penerima daripada keluarga berpendapatan rendah dan komuniti yang kurang berkemampuan.
Penerima akan mendapat sumbangan pek makanan Rezeki Ramadan yang mengandungi bekalan makanan asas dan keperluan harian, sebagai sebahagian daripada inisiatif impak sosial menerusi LazadaForGood yang merupakan platform pemberian digital.
Ketua Pegawai Operasi Lazada Darren Rajaratnam berkata kolaborasi dengan IRM akan membantu masyarakat membangun dan ia juga penglibatan yang baik buat para pelanggan Lazada menerusi pendekatan bermakna.
“Dengan pelancaran inisiatif ini pada bulan Ramadan, kami berharap ia dapat menggalakkan para pelanggan Lazada untuk bersama-sama menyumbang ke arah kebajikan sosial dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IRM Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata Ramadan dan Syawal adalah masa untuk IRM menggandakan usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat kurang berkemampuan.
“Peluang untuk bekerjasama sekali lagi dengan Lazada Malaysia amatlah bermakna kepada IRM dan manfaatnya pasti membawa impak yang besar buat mereka yang memerlukan.
“Sumbangan itu akan membantu membiayai ribuan pek makanan Rezeki Ramadan yang mengandungi beras, tepung, makanan dalam tin, minyak masak, gula, buah kurma dan barang keperluan harian untuk mereka berbuka puasa dan bersahur,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melayari platform dalam talian LazadaForGood dan pilih Islamic Relief Malaysia sebelum memilih jumlah derma iaitu RM5, RM10, RM20, RM30, RM50, RM100 atau lebih.
Untuk Rezeki Ramadan, mySedekah atau bantuan kecemasan bencana tempatan, orang ramai hanya perlu menambah ke ‘cart’ sumbangan dan klik ‘check out’. Sumbangan itu kemudian akan disalurkan kepada dana yang dikumpulkan oleh IRM.
Orang ramai juga boleh menyumbangkan derma ikhlas kepada MyFundAction, UNICEF dan badan-badan amal yang lain di LazadaForGood menerusi https://s.lazada.com.my/s.eKYQu.
-- BERNAMA