KPDNHEP siasat premis banyak aduan pengguna - Nanta
PUTRAJAYA, 5 April (Bernama) -- Siasatan akan dijalankan terhadap sesebuah premis atau gerai yang menerima banyak aduan daripada pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata siasatan itu akan melibatkan semakan terhadap harga bahan mentah yang dibeli dari pembekal, selain kos pembuatan, kos operasi dan harga pada peringkat pengeluar dan pemborong.
"KPDNHEP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika peniaga didapati bersalah mencatut seperti diperuntukkan di bawah Akta Bekalan 1966 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
"KPDNHEP ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan ditetapkan kerajaan, terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi mengelak dikenakan tindakan tegas," katanya kepada pemberita sebelum program walkabout di Bazar Ramadan Putrajaya sempena Ops Pantau 2022, di sini hari ini.
Nanta berkata lebih 2,000 anggota penguat kuasa kementerian itu, dibantu lebih 1,000 pegawai pemantau harga, akan turun padang memantau harga jualan di seluruh negara menerusi operasi tersebut, untuk memastikan pengguna mendapat bekalan makanan dan keperluan harian pada harga munasabah.
"Pemeriksaan di bawah Ops Pantau 2022 antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara, antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, halal dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
Beliau berkata selepas dua hari operasi itu dilaksanakan bermula Ahad lepas, sebanyak 7,106 premis telah diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu terdapat 17 kes atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun RM4,200, termasuk berkaitan tanda harga.
Nanta, dalam pada itu berkata kebanyakan harga barang mentah sudah dikawal kerajaan melalui Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia dan tiada sebab kukuh untuk peniaga, termasuk di bazar Ramadan menaikkan harga juadah jualan mereka.
Beliau berkata harga barang mentah tersebut termasuklah ayam, telur ayam, minyak masak sawit tulen, tepung gandum kegunaan am, gula, gas petroleum cecair untuk memasak, petrol RON95 dan diesel untuk pengangkutan.
Ketika ditanya mengenai tindakan peniaga di Johor dan Perlis yang menjual ayam melebihi harga siling, Nanta berkata tindakan itu jelas merupakan satu kesalahan.
"Meletakkan harga melebihi harga siling satu sen pun kesalahan dan menjual melebihi RM10 sekilogram (kg) sememangnya kesalahan besar. Kita sudah buat sekatan harga maksimum di pelbagai peringkat seperti di ladang, borong dan runcit. Tiap peringkat ada margin (yang ditetapkan)," katanya.
Terdahulu, media melaporkan terdapat peniaga di Johor yang menjual ayam pada harga RM9.50 sehingga RM10 sekilogram, melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 per kg.
-- BERNAMA