JKNS uji sampel makanan di bazar Ramadan, elak keracunan makanan
SHAH ALAM, 6 April (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan membuat pensampelan makanan terutama ke atas makanan berisiko tinggi menyebabkan keracunan di bazar Ramadan seluruh negeri ini bagi menjamin keselamatan makanan kepada pembeli.
Pengarahnya Datuk Dr Shaari Ngadiman berkata makanan yang berasaskan santan, daging dan telur akan diuji bertujuan mengelakkan berlakunya kejadian keracunan makanan yang boleh membawa kepada kesan buruk kepada kesihatan.
“Para peniaga juga disarankan untuk memastikan bekalan makanan adalah selamat, menjaga kebersihan diri dan kawasan jualan serta memastikan tiada risiko pencemaran silang selain memastikan makanan yang dijual adalah makanan yang disediakan setiap hari bukan memanaskan baki makanan yang tidak habis dijual,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi memastikan makanan yang dijual di bazar Ramadan sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk dimakan, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis makanan akan dipergiatkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara berkala.
Beliau turut menyeru peniaga bazar Ramadan agar memastikan setiap pengendali makanan yang terlibat sudah menghadiri latihan pengendali makanan dan menerima suntikan antitifoid.
Selain itu, Dr Shaari menasihati pembeli di bazar Ramadan agar menggunakan kuasa pembeli untuk membeli makanan dari penjual makanan yang bersih dan sentiasa mengamalkan konsep ‘Perhati dan Pilih’.
“Konsep ini menggalakkan pembeli untuk memerhati dan memilih penjual yang mengendali serta menjual makanan dalam keadaan yang bersih dan selamat sebelum membeli. Seterusnya, amalan lihat, hidu dan rasa sebelum makan perlu dijadikan praktis harian sebelum menikmati makanan,” tambahnya.
Panduan berkaitan keselamatan makanan boleh diambil dari laman web http://fsq.moh.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, www.facebook.com/bkkmhq.
Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau JKN yang terdekat.
-- BERNAMA