Harga makanan berasaskan tepung di Bazar Ramadan meningkat - CAKE

07/04/2022 06:31 PM

ALOR SETAR, 7 April (Bernama) -- Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mengesan berlaku kenaikan harga bagi makanan yang berasaskan tepung, terutamanya kuih-muih yang dijual di bazar Ramadan di negeri itu pada tahun ini.

Setiausaha CAKE Mohamad Yusrizal Yusoff berkata sejak bazar Ramadan mula beroperasi pada hari pertama Ramadan 3 April lalu, pihaknya menerima beberapa rungutan daripada pengguna mengenai kenaikan harga makanan yang dijual.

“Harga bekalan seperti ayam, telur, minyak masak, susu tin dan tepung telah naik secara mendadak sebelum ini, dan itu menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual di bazar.

“Kalau kita perasan, tahun sebelum ini memang ramai yang menjual kuih-muih tradisional di bazar Ramadan, tetapi sekarang tidak banyak kerana harga tepung naik dan bekalannya yang kurang,” katanya selepas mengadakan tinjauan di bazar Ramadan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai peniaga memilih untuk menjual menu makanan yang lain, bagi mengelak daripada menerima aduan dari orang ramai.

Mohamad Yusrizal berkata selain kuih-muih, pihaknya juga menerima aduan mengenai kenaikan harga makanan yang berasaskan ayam dan susu tin.

“Kalau Ramadan memang ayam golek dan ayam percik menjadi menu wajib yang dicari oleh orang ramai. Tetapi, sekarang harga ayam yang dijual boleh mencecah sehingga RM30 seekor, jadi ia agak membebankan mereka yang ingin membeli,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga di bazar Ramadan itu Zulanizan Zakaria, 38, berkata dia terpaksa menaikkan harga kuih tepung pelita yang dijualnya, bagi menampung kos harga barang yang semakin meningkat.

Namun, beliau bersyukur kerana rata-rata pelanggannya memahami keadaan itu, dan hasil jualan setakat ini amat baik walaupun terpaksa meletakkan harga yang lebih tinggi, berbanding sebelum ini.

“Setakat ini tempahan banyak dan sepanjang Ramadan ini saya mampu menjual 4,000 biji tepung pelita sehari. Bekalan tepung untuk buat kuih setakat ini cukup dan tidak menjadi masalah, kerana saya akan membeli dalam kuantiti yang banyak dari pemborong,” katanya.

-- BERNAMA