Tiada laluan khas di Bazar Ramadan Melaka
JASIN, 7 April (Bernama) -- Tiada cadangan bagi membuka laluan khas di bazar Ramadan di seluruh Melaka bagi ibu bapa yang membawa anak mereka setakat ini, kata Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau berkata ia berikutan tiada larangan dikuatkuasakan bagi ibu bapa membawa kanak-kanak berumur bawah 12 tahun ke bazar Ramadan namun pada masa sama, perkara itu tidak digalakkan kerana kebanyakan mereka belum menerima vaksin.
"Cadangan untuk membuat laluan khas ini terlalu suntuk untuk dilakukan kerana tinggal kurang 25 hari bazar Ramadan beroperasi. Perkara ini juga seharusnya diteliti dua atau tiga bulan lebih awal untuk memastikan kesesuaian pelaksanaannya daripada pelbagai aspek termasuk tempat untuk mengelakkan kesesakan.
"Tiada undang-undang yang menghalang namun ia di bawah tanggungjawab ibu bapa sepenuhnya selain mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan kita tidak mengalakkan untuk bawa anak kecil ke bazar terutama tempat yang sesak dan padat," katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Muhamad Akmal diiringi Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abdul Rahman meninjau bazar Ramadan dan Kempen Keselamatan Juadah di Bazar Ramadan Pekan Merlimau di sini.
Beliau berkata sekiranya ibu bapa terpaksa membawa anak, mereka digalakkan untuk memastikan anak kecil memakai pelitup dan pelindung muka terutama di tempat yang sesak.
Katanya Jabatan kesihatan Negeri (JKN) telah mengeluarkan 14 kompaun bernilai RM7,600 terhadap beberapa hotel sekitar Melaka yang menganjurkan bufet Ramadan.
Muhamad Akmal berkata pemeriksaan dilakukan ke atas 27 hotel dan tindakan itu diambil membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Sekyen 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Selain itu, JKN mengeluarkan tiga kompaun bernilai RM450 kepada premis di gerai bazar Ramadan dan satu kompaun bernilai RM2,500 ke atas kilang ais ketika pemeriksaan di kesemua 398 premis dengan kesemua premis menepati tahap penilaian kebersihan melebihi 80 peratus.
"Pemeriksaan ini bagi memastikan kesemua premis yang menjual makanan mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan dan memastikan makanan yang disediakan serta dikendalikan adalah selamat dan tidak memberi risiko kepada pembeli," katanya.
Beliau berkata orang ramai dinasihat supaya bijak memilih premis yang bersih ketika membeli juadah berbuka puasa dan sebarang aduan boleh disalurkan kepada pejabat kesihatan daerah atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my.
-- BERNAMA