Duta Komuniti santuni jemaah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin
PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Sukarelawan Duta Komuniti (DK) hari ini menyantuni jemaah masjid yang menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Presint 3 di sini.
Dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada lima orang, mereka dilihat menyapa dan mengingatkan para jemaah agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP), biarpun negara kini telah memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Mohd Redzuan Dollah berkata keberadaan DK di kawasan masjid, turut memudahkan urusan jemaah masjid yang memerlukan bantuan lain.
“Tahap pematuhan SOP di masjid setakat ini adalah memuaskan, kami banyak menerima maklum balas dari hadirin, yang menyatakan mereka selesa dengan keadaan dalam masjid, serta layanan yang diberikan oleh DK kepada mereka juga baik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata sukarelawan DK akan bertugas setiap hari sepanjang Ramadan secara penggiliran, ketika waktu solat Tarawih.
Program DK diselaraskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia bertujuan, memastikan usaha membudayakan kawalan kendiri oleh komuniti semasa proses peralihan ke endemik dengan selamat, selain menggalakkan pematuhan kepada SOP seiring dengan penekanan pemerkasaan komuniti.
-- BERNAMA