Locong: Cendol warna-warni kegemaran masyarakat Kelantan

08/04/2022 10:55 AM

TUMPAT, 8 April (Bernama) -- Apabila tibanya bulan Ramadan, rata-rata umat Islam pasti akan mencari pemanis mulut sebagai pembuka selera ketika berbuka puasa dan di Kelantan antara yang menjadi kegemaran ialah 'locong'.

Pengusaha locong, Mariani Ismail, 48, atau lebih dikenali 'Mariani Locong' berkata juadah seakan-akan cendol itu, namun lebih berwarna-warni dengan warna seperti merah, merah jambu, hijau dan kuning, mempunyai rasa yang kenyal serta lembut. 

"Sebenarnya locong ini berasal dari Thailand dan jarang rakyat tempatan yang membuatnya. Oleh sebab itu, kerana permintaannya juga terlalu tinggi, saya mengusahakannya sendiri di rumah sejak 10 tahun yang lalu.

"Kalau dilihat secara kasar locong ini senang dimasak, tetapi memerlukan kesabaran dan penelitian yang tinggi kerana kemahiran untuk mengadun, memotong, merebus dan menggaul pewarna, serta dibentuk supaya ia kelihatan menarik," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Mariani berkata pada bulan Ramadan ini, beliau akan mula membuat locong pada pukul 11 pagi hingga 4 petang untuk menghasilkan kira-kira 350 bungkus locong sehari, yang dijual secara borong pada harga RM1.50 sebungkus.

"Antara bahan yang diperlukan untuk membuat locong ialah tepung kanji, air dan pewarna.

"Cara-cara untuk membuatnya pula adalah dengan memasukkan sedikit air ke dalam tepung kanji untuk disebatikan, manakala kanji kering dan kanji basah dicampurkan hingga menjadi sedikit keras bagi memudahkan proses membentuknya," katanya yang turut dibantu suami, Zaki Ali, 49.

 Katanya, doh yang siap dipotong, kemudiannya direbus di dalam air yang menggelegak selama lebih kurang seminit sehingga terapung dan ditoskan bagi mengelakkan ia mudah melekat.

"Selain dibentuk memanjang dan halus, terdapat juga locong yang dibentuk seperti biji delima kerana locong ini enak dinikmati bersama air bandung, ais batu campur (ABC) atau dihidang bersama susu cair untuk diminum," katanya.

Mariani menambah perniagaannya itu turut mendapat permintaan daripada pelanggan sekitar Lembah Klang dan Perak dengan keuntungan mencecah RM450 sehari.

-- BERNAMA