Warga Sarawak jangan leka SOP sepanjang Ramadan
KUCHING, 8 April (Bernama) -- Warga Sarawak dinasihatkan agar tidak leka dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 sepanjang Ramadan ini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pematuhan itu penting terutamanya ketika negara kini sedang memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.
“Kita sudah masuk fasa peralihan endemik dan kini ada sedikit kelonggaran SOP seperti di bazar Ramadan yang kita lihat ramai orang pergi.
“Dalam kelonggaran SOP ini, saya nasihatkan supaya kita kekal jaga SOP dan kesihatan kita,” katanya dalam ucapan pada majlis simbolik penyerahan Sumbangsih Raya 2022 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Sarawak mencatatkan 413 kes baharu COVID-19 dengan lima kematian direkodkan.
Sumbangsih Raya merupakan program pemberian kotak makanan kepada anggota dan pasukan keselamatan yang bertugas semasa Aidilfitri nanti. Pada tahun ini, sebanyak 11,500 kotak Sumbangsih akan diberikan kepada 10 agensi penerima.
-- BERNAMA