Kepulangan Yang Ditunggu Giatkan Pelancongan, Ekonomi Negara

08/04/2022 01:53 PM
By :
Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Josil Murray begitu teruja hari ini.

Masakan tidak, selepas lebih dua tahun tidak bertemu kaum keluarga di tanah air, hari ini wanita itu, suaminya serta anak perempuan mereka akan berlepas pulang ke Malaysia.

Josil, 38, yang bekerja di pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bangkok, Thailand, juga tidak sabar untuk memperkenalkan anaknya yang berusia 18 bulan kepada ibu dan abangnya serta sanak saudara.

Sebelum ini, dia dan suaminya -seorang warga British- kerap pulang ke Malaysia. Namun ketibaan COVID-19 di rantau ini menyaksikan penutupan sempadan negara sejak Mac 2020 - dasar yang berkuat kuasa selama lebih dua tahun dan hanya ditarik balik pada 1 April lepas.


Josil Murray with husband Harry and daughter Alma. Supplied Photo.

Pembukaan semula sempadan Malaysia membolehkan Josil sekeluarga memasuki negara ini dengan hanya syarat minimum kerana dia dan suaminya sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19.

Sebagai bukan warganegara yang tidak memiliki visa keluarga mahupun status pemastautin tetap, suami Josil dan bayi mereka sebelum ini tidak boleh memasuki negara ini tanpa kebenaran khas di samping berdepan sekatan lain termasuk menjalani ujian saringan COVID-19 serta kuarantin.

“Sukar digambarkan perasaan kami, namun yang pasti kami sangat gembira kerana akhirnya dapat pulang ke Malaysia,” katanya kepada Bernama melalui aplikasi Zoom.

Menurut Josil, selain membawa anaknya bertemu kaum keluarga, dia juga mahu melepaskan rindu berkunjung ke bazar Ramadan.

Josil mungkin antara ratusan ribu rakyat dan bukan rakyat Malaysia di luar negara serta keluarga mereka yang tidak berpeluang melawat negara ini berikutan sekatan mengekang pandemik. Kebanyakan mereka dijangka mengambil kesempatan daripada pembukaan semula sempadan negara untuk bersua muka dengan sanak saudara.


Nigel Wong, Honorary Secretary-General of MATTA. --fotoBERNAMA (2021) COPYRIGHT RESERVED

“Pada peringkat ini, kita jangkakan ramai yang pulang untuk bertemu kaum keluarga selain peningkatan pelawat yang datang atas tujuan-tujuan tertentu,” kata Nigel Wong, jurucakap Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) kepada Bernama.

Bagaimanapun katanya masih terlalu awal untuk melihat sebarang peningkatan dalam industri pelancongan.

 

MASIH ADA YANG KEBERATAN

Kerajaan dilaporkan berkata pembukaan semula sempadan negara itu adalah langkah untuk menyelamatkan industri pelancongan serta meningkatkan ekonomi dengan sasaran dua juta ketibaan pelawat antarabangsa dan perolehan sekitar RM8.6 bilion tahun ini.

“Industri ini teruja untuk menyambut ketibaan pelawat selepas dua tahun negara ‘sunyi’ daripada sebarang kegiatan pelancongan,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, 1 April lalu.

Sejak sempadan dibuka semula hingga 3 April, hampir 65,000 pengembara antarabangsa tiba di semua lapangan terbang di negara ini, demikian menurut pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Berhad. Sekalipun bilangan pelawat meningkat, kemungkinan besar angka itu tidak akan mencapai paras sebelum pandemik buat masa ini.

Ini kerana masih ada sekatan minimum yang barangkali bagi sesetengah orang masih terlalu sukar untuk dipenuhi. Yang lain pula mungkin berdepan halangan di negara hos mereka.

Selain itu, ada juga yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat bagi memberi peluang kepada Malaysia menambah baik sebarang kesulitan yang wujud dalam prosedur baharu tersebut.


Sumita Palanisamy (third from left) with her three siblings, in-laws, niece, nephew and parents. Supplied Photo.

“Saya memang akan balik tapi saya nak tengok dahulu kalau-kalau ada masalah,” kata Sumita Palanisamy, rakyat Malaysia yang kini menetap di India di mana dia menjalankan perniagaan berasaskan bioteknologi.

Wong berkata walaupun ahli MATTA menerima banyak pertanyaan tentang lawatan ke Malaysia sejak kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan, ketibaan untuk tujuan melancong masih rendah.

Katanya ramai yang keberatan untuk datang disebabkan kes harian COVID-19 Malaysia masih dianggap tinggi, iaitu purata 13,890 jangkitan baharu setiap hari pada minggu lepas.

“Dari satu segi, perkembangan ini ada juga baiknya, iaitu ada kemajuan namun tidak terlalu pantas,” katanya, menambah MATTA menjangka peningkatan ketara pelawat dapat disaksikan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Bulan lepas, pakar kesihatan mengingatkan bahawa pembukaan semula sempadan tidak bermakna pandemik sudah berakhir dan meminta masyarakat agar terus berwaspada serta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang masih terpakai.

“Wujud tanggapan tidak benar bahawa pandemik sudah berakhir dan virus itu lagi tidak begitu membahayakan orang ramai,” kata pakar virologi Monash University-Malaysia Dr Vinod Balasubramaniam.

Beliau menekankan kepentingan pemakaian pelitup muka, khususnya di dalam ruang tertutup.

Sebagai sebahagian daripada fasa peralihan kepada endemik, berkuat kuasa pada 1 April lalu, Malaysia melonggarkan beberapa sekatan kesihatan seperti keperluan menjalani kuarantin buat pelawat yang lengkap vaksinasi.

Kini mereka hanya disyaratkan menjalani ujian RT-PCR dua hari sebelum berlepas ke negara ini dan melakukan ujian antigen pantas dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan. Pemakaian pelitup muka bagaimanapun masih diwajibkan.

 

PERMINTAAN DOMESTIK


MARANG, April 1 -- The public enjoying a day at the beach at Pantai Kekabu. Malaysia reopened borders and relaxed COVID-19 restrictions today as part of its transition to endemic phase. --fotoBERNAMA (2022) Copyright Reserved

Hantaran media sosial serta laporan media arus perdana mengetengahkan rasa tidak sabar dan kegembiraan rakyat serta bukan rakyat Malaysia untuk bertemu dengan orang tersayang selepas dipisahkan oleh COVID-19. Menurut PBB, terdapat kira-kira 1.7 juta rakyat Malaysia di luar negara pada masa ini yang juga merupakan sebahagian daripada trend ‘brain drain’.

Dalam pada itu, Wong berkata walaupun ramai yang merancang untuk pulang melawat kaum keluarga di Malaysia, ini tidak semestinya bermakna mereka akan menyumbang dengan banyak kepada industri pelancongan.

Sekalipun permintaan pelancongan domestik meningkat sejak sekatan pergerakan ditarik balik, Wong keberatan untuk mengiyakan pandangan kepulangan bertemu keluarga itu akan memacu subsektor berkenaan.

“Dari segi tempahan, kebanyakannya dipacu oleh perjalanan domestik. (Namun), kita tidak boleh kata mereka yang balik ini mahu ‘jalan-jalan makan angin’,” katanya.

Menurutnya, pembentukan trend dalam industri itu dijangka dapat dilihat dalam tempoh dua bulan akan datang, khususnya selepas Pameran MATTA yang dijadualkan bermula esok selama dua hari.


GEORGE TOWN, April 1 -- Tourists sightseeing on the first day of borders reopening. --fotoBERNAMA (2022) COPYRIGHT RESERVED

Walaupun masih terlalu awal untuk melihat peningkatan dalam industri pelancongan, sumbangan sektor itu kepada ekonomi setempat mula dirasai. Berdasarkan laporan media arus perdana serta hantaran media sosial, ramai yang bercadang untuk tinggal dan menjelajah Malaysia sebaik tiba di negara ini, sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi setempat kalaupun tidak keseluruhan ekonomi itu sendiri. Premis perniagaan di sempadan Malaysia-Singapura misalnya, melaporkan peningkatan jualan mereka.

Sumita yang merupakan pengasas bersama dan Ketua Pegawai Operasi Cygen Group, memberitahu Bernama dia teruja untuk pulang berjumpa ibu bapa dan adik-beradiknya selepas tidak bersua muka sejak lebih setahun lalu.

“Saya banyak mengembara atas tujuan kerja, tapi ini dihentikan apabila COVID-19 menular,” katanya, menambah walaupun dia mengembara solo, dia tidak suka kerenyahan yang perlu dihadapinya seperti menjalani kuarantin selama seminggu yang diwajibkan di Malaysia sebelum ini.

Seperti kebanyakan mereka yang mempunyai orang tersayang di Malaysia, wanita itu merancang untuk mengisi percutiannya dengan melawat tempat-tempat menarik seperti Pulau Pinang dan Langkawi.

Bagi Josil dan keluarganya pula, dia merancang untuk memanfaatkan sepenuhnya tempoh 10 hari berada di Malaysia dengan mengunjungi bazar Ramadan dan berkelah bersama-sama keluarga.

“Kami tidak sabar untuk pulang ke Malaysia. Kami rindukan semua benda, makanan dan lain-lain. Kami benar-benar ingin bersarapan di restoran mamak,” katanya sambil ketawa.

 

Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda

-- BERNAMA