UDA Holdings Berhad sumbang RM26,000 kepada anak yatim, asnaf

08/04/2022 10:07 PM

PEKAN, 8 April (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, menghulurkan sumbangan raya berjumlah RM26,000 kepada anak yatim dan asnaf, di sini hari ini.

Pengerusinya Datuk Norliza Abdul Rahim berkata sejumlah RM14,000 telah disumbangkan kepada Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Pahang, untuk diagihkan kepada asnaf.

Beliau berkata sebanyak RM12,000 pula diperuntukkan kepada 40 penerima, terdiri daripada anak yatim dan asnaf sekitar daerah itu, yang masing-masing menerima RM300 duit raya dengan mereka turut dibawa untuk membeli persiapan baju raya.

“Ini merupakan inisiatif kami untuk berkongsi rezeki bersama golongan yang kurang berkemampuan, agar mereka dapat merasai lebih keseronokan menyambut lebaran pada tahun ini.

“Program seumpama ini akan dipanjangkan ke negeri lain, yang mempunyai projek pembangunan UDA antaranya di Pulau Pinang, Johor, Perak dan Terangganu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Syukuri Ramadan anjuran AnCasa Royale Pekan, rangkaian hotel milik UDA di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pengurusan Aset UDA Azrudyn Rashid dan Naib Presiden Kanan AnCasa Hotels & Resorts Shah Azam Khan.

Terdahulu, Norliza dalam ucapannya berkata menerusi program itu juga, ia dapat merapatkan lagi hubungan dengan komuniti di wilayah perniagaan UDA, selain dapat memperkenalkan rangkaian hotel milik UDA kepada masyarakat setempat.

Beliau berkata inisiatif CSR itu juga, selari dengan konsep penjenamaan baharu UDA iaitu 'LIFE' yang menekankan kepada 'Legacy', 'Integrated', 'Finesse' dan 'Enrich'.

“Saya percaya dengan adanya penjenamaan baharu, UDA akan terus utuh menggalas peranan mewujudkan komuniti inklusif di wilayah pembangunan serta perniagaan UDA, dan bersama-sama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melahirkan lebih ramai lagi Keluarga Usahawan, yang mampu menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lepas,” katanya.

Sementara itu, Norliza berkata AnCasa Royale Pekan juga kini akan merancakkan kembali operasi perniagaan, dengan menawarkan pelbagai promosi antaranya pakej Ramadan Buffet 'Poh Paleh Wey' sepanjang Ramadan. 

“Selain itu, rangkaian hotel kami di AnCasa Residences Port Dickson Negeri Sembilan dan Kuala Terengganu Golf Resort, Terengganu, turut menawarkan pakej berbuka puasa sepanjang Ramadan,” katanya.

-- BERNAMA