Bank Islam salur sumbangan kepada 100 asnaf di Alor Setar

09/04/2022 08:16 PM

ALOR SETAR, 9 April (Bernama) -- Seramai 100 individu menerima sumbangan berjumlah RM25,000 dari Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) sempena program AMAL Ihtimam Ramadan, di sini pada tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB Mohd Muazzam Mohamed berkata semua penerima yang terdiri daripada golongan asnaf di sekitar Alor Setar itu menerima sumbangan wang zakat berjumlah RM200 dan barangan keperluan asas bernilai RM50 seorang.

"Ramadan merupakan bulan yang mulia dan penuh keberkatan, jadi kita perlu berkongsi rezeki. Kami sebagai sebuah institusi kewangan Islam sentiasa mengutamakan kesejahteraan pelanggan dan komuniti setempat. 

"Sumbangan kepada golongan asnaf ini diharap dapat membantu mereka pada bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi," katanya pada Program Bubur Lambuk AMAL Ihtimam Ramadan di Masjid Zahir, di sini hari ini.

Pada program itu, sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada kariah masjid, pemandu teksi dan bas, petugas barisan hadapan dan orang awam di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata BIMB juga berbesar hati menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM5,000 kepada pihak Masjid Zahir bagi melaksanakan pelbagai inisiatif demi manfaat jemaah dan komuniti setempat. 

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Mohd Muazzam kepada Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Zahir.

Mohd Muazzam berkata bersempena program AMAL Ihtimam Ramadan itu juga, pihaknya turut menyantuni 500 lagi penerima zakat seluruh negara dengan dana sumbangan zakat berjumlah RM100,000 sebagai persiapan menyambut Aidilfitri nanti. 

Sementara itu, penerima Rohani Harun, 68, yang menetap di Limbong Kapal, Alor Setar berkata dia bersyukur dengan sumbangan wang dan barangan yang diterima dari BIMB kerana sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan menjelang Aidilfitri ini. 

"Saya tidak bekerja kerana kaki tidak boleh berjalan dengan elok selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira empat tahun lalu dan dengan adanya sumbangan ini, bolehlah buat beli kuih dan baju raya nanti," katanya.

-- BERNAMA