Melaka punyai 22,980 bilik hotel untuk tampung pengunjung - Muhammad Jailani

10/04/2022 12:26 PM

MELAKA, 10 April (Bernama) -- Sebanyak 22,980 bilik hotel tersedia di Melaka bagi menampung permintaan pelancong dalam dan luar negara ketika industri pelancongan kembali pulih selepas negara melangkah ke Fasa Peralihan ke Endemik.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata sasaran 5.6 juta kedatangan pelancong ke Melaka tahun ini juga yakin mampu dicapai dan dijangka akan meningkat secara mendadak selepas sambutan Aidilfitri.

"Jika kita lihat keadaan semasa jalan-jalan utama negeri ini, didapati mulai sesak dan meningkat dengan ketara terutamanya pada hujung minggu. Situasi ini sangat berbeza dengan Ramadan dua tahun lepas dan kedatangan ramai pengunjung ini akan memberi impak positif kepada semua pemain industr,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata Melaka juga bersedia menanti kedatangan pelancongan Indonesia menerusi laluan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan  Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai.

"Sebelum pandemik COVID-19, berdasarkan statistik kehadiran pelancong pada 2019, laluan udara di negeri ini mencatatkan kira-kira 120,000 penumpang dari Wilayah Sumatera iaitu meningkat enam kali ganda berbanding 2018 melalui promosi besar-besaran yang dilaksanakan,” katanya.

-- BERNAMA