Konsep Light City hidupkan semula bazar Jalan Hang Tuah

10/04/2022 01:44 PM

MELAKA, 10 April (Bernama) -- Pertaruhan mengeluarkan modal sebanyak RM100,000 untuk mewujudkan bazar berkonsep ‘Light City’ nyata berbaloi apabila Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrad) kini menjadi tumpuan pengunjung sejak bermulanya Ramadan. 

Menjadi bazar pertama mempunyai konsep sedemikian, tapak bazar Aidilfitri di Jalan Hang Tuah yang dulunya 'malap' kini semakin meriah dengan kehadiran pengunjung setiap malam yang mencecah 200,000 orang hanya pada minggu pertama bazar itu beroperasi. 

Penganjur bazar Muhammad Fikri Mohd Ali berkata dereta lampu LED yang dililit pada 80 pokok merupakan inisiatif yang diambilnya untuk menghidupkan kembali bazar Aidilfitri itu yang sekian lama malap kerana pelbagai isu.

"Kita buat bazar ini seperti buat satu acara. Kena ada tema dan sebab itu kita ubah suasana bazar ini dengan menerangi 128 khemah di sepanjang 0.5 kilometer dengan memasang lampu LED pada pokok-pokok di sini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bazar itu malam tadi.

Biarpun bimbang dengan pelbagai risiko memandangkan kawasan tersebut pada beberapa tahun lepas pernah 'mati' akibat tiada sambutan pengunjung, Muhammad Fikri percaya sasarannya untuk mendapat 1 juta pengunjung pada akhir Ramadan nanti akan tercapai.

"Minggu pertama sahaja secara kasar bazar ini dikunjungi lebih 200,000 pengunjung. Kita yakin dengan susunan program sampingan serta suasana baharu bazar ini akan terus menarik orang ramai yang hendak mencari kelengkapan bagi persiapan hari raya seperti baju, biskut dan perhiasan rumah," katanya.

Lebih menarik, Bazar Melgrad itu juga menjadi bazar pertama yang menawarkan cabutan bertuah kepada pengunjung yang berbelanja minimum RM30 untuk satu kupon.

"Hadiah utama adalah kereta Proton Saga 1.3 AT Premium bernilai hampir RM50,000 yang ditaja oleh Hang Boba. Selain itu, motosikal, barangan elektrik, baucar penginapan hotel yang keseluruhan bernilai RM80,000 turut menanti pengunjung bertuah.

"Cabutan bertuah tersebut akan dilakukan pada malam 24 April nanti," katanya.

Selain itu, persembahan daripada artis terkenal negara seperti Datuk Awie, Siti Nordiana, Azlan Typewriter dan beberapa artis Akademi Fantasia juga akan menjadi penarik ke bazar berkenaan.

"Kita mahu bazar ini berjaya sebab yang untungnya adalah peniaga. Bukan penganjur. Jadi kami berharap penjenamaan semula bazar ini akan menguntungkan semua pihak," katanya. 

-- BERNAMA