MAIDAM peruntuk RM12.43 juta untuk fakir miskin sempena Ramadan

10/04/2022 02:32 PM

KUALA TERENGGANU, 10 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan sebanyak RM12.43 juta untuk membantu 21,187 fakir dan miskin di seluruh negeri sepanjang Ramadan tahun ini.

Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,145  penerima adalah golongan fakir, manakala 19,042 penerima lagi kategori miskin, masing-masing menerima sumbangan RM500 dan RM700 berdasarkan tanggungan keluarga.

"Pada hari ini, kita serahkan sumbangan kepada 174 penerima di sekitar Kuala Terengganu manakala penerima di daerah lain akan menerimanya secara terus ke dalam akaun masing-masing bermula hari ini secara berperingkat.

"Kita harap golongan fakir dan miskin dapat menjalani ibadah Ramadan dengan lebih tenang tanpa bimbangkan masalah kewangan kerana sudah menerima bantuan daripada MAIDAM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis agihan zakat sempena Ramadan peringkat negeri di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM Prof Madya Dr Azrin Ahmad Mohd Adnan.

Kuala Terengganu merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu 6,367 orang diikuti Kuala Nerus (4,250), Kemaman (2,582), Marang (2,400), Dungun (2,315), Hulu Terengganu (1,587), Besut (1,168) dan Setiu (518).

-- BERNAMA