Mydin bantu peniaga bazar Ramadan Gum-Gum terjejas hujan lebat, angin kencang

10/04/2022 05:30 PM

SANDAKAN, 10 April (Bernama) -- Lebih 12 peniaga bazar Ramadan di Gum Gum dekat sini yang terjejas dengan hujan lebat dan angin kencang semalam mendapat perhatian pasar raya Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin).

Simpati dengan musibah yang dialami peniaga berkenaan, pengarahnya Datuk Ameer Ali Mydin telah mengarahkan ketua cawangan Mydin Sandakan untuk segera mengenal pasti peniaga yang terlibat untuk dibantu.

"Saya amat simpati dengan musibah yang dialami peniaga bazar Ramadan berkenaan susulan bencana yang melanda dan menyebabkan kerugian serta kerosakan barangan perniagaan.

"Bagi meringankan sedikit bebanan kerugian yang ditangggung, pihak kami (Mydin) juga akan menyumbang baucar tunai bernilai RM500 kepada setiap peniaga agar mereka dapat membeli barangan yang telah rosak dan memulakan kembali perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Petang semalam, Sandakan mengalami hujan lebat dan angin kencang menyebabkan sebilangan peniaga bazar Ramadan di beberapa kawasan terjejas, termasuk hujan ais melanda sebuah perkampungan atas air.

-- BERNAMA