JBPM Kelantan lakukan rondaan berkala di lokasi panas kemalangan

11/04/2022 06:31 PM

KOTA BHARU, 11 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan menjalankan rondaan berkala di beberapa lokasi panas kemalangan di negeri itu sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

Pengarahnya Zainal Madasin berkata lokasi panas yang telah dikenal pasti adalah laluan utama ke Kelantan iaitu Lebuh Raya Timur Barat, Jalan Gua Musang-Kuala Krai-Kota Bharu dan Jalan Pasir Puteh-Kuala Terengganu.

”Rondaan ini dilakukan berikutan berlaku peningkatan jumlah trafik dan aktiviti harian terutamanya pada bulan Ramadan dan hari raya tahun ini berbanding dua tahun lalu akibat COVID-19.

"Inisiatif itu merupakan tindakan segera pihak kami sekiranya berlaku kemalangan dan bagi memastikan anggota sentiasa dalam keadaan bersedia," katanya kepada pemberita selepas Program Kebakaran Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata jumlah kenderaan keluar masuk ke Kelantan dijangka meningkat pada sambutan Aidilfitri tahun ini berbanding tempoh sama dua tahun sebelum ini.

-- BERNAMA