Buko Pandan terima permintaan tinggi sepanjang Ramadan
KOTA BHARU, 12 April (Bernama) -- Rasanya yang manis, lemak berkrim membuatkan buko pandan, pencuci mulut yang berasal dari Filipina mendapat permintaan tinggi daripada penggemarnya.
Malah seorang pengusaha buko pandan, Idda Melisa Sukiman, 36, tidak menang tangan memenuhi permintaan tinggi sajian tersebut yang meningkat tiga kali ganda pada bulan Ramadan.
Idda Melisa berkata beliau mempelajari cara menghasilkan buko pandan selepas menyertai kelas anjuran seorang tukang masak profesional dari Filipina sekitar 2018.
"Saya membuat buko pandan sepanjang tahun namun pada Ramadan jumlah tempahan meningkat tiga kali ganda. Antara bahan asas yang diperlukan untuk membuat buko pandan ialah jagung, isi kelapa, koktel buah, nata de coco, gelatin, krim putar, susu cair dan susu pekat.
"Cara penyediaan pemanis mulut ini, saya perlu menghasilkan jeli sehari lebih awal sebelum keesokannya membancuh kuah mengikut perisa seperti pandan, laici, mangga dan longan,” katanya yang ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Putih di sini hari ini.
Bercerita lanjut, Idda Melisa berkata beliau menghasilkan kira-kira 1,500 bekas buko pandan setiap hari dalam tempoh Ramadan kali ini.
“Buko pandan ini dihasilkan mengikut saiz seperti M yang dijual pada harga RM12, L (RM37) dan XL (RM70).
“Selain Kelantan, tempahan turut diterima daripada penggemar buko pandan dari Perak, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya yang dibantu tujuh pekerja untuk menyiapkan semua tempahan.
Idda Melisa kini mampu tersenyum lebar apabila buko pandan hasil air tangannya semakin dikenali ramai.
“Saya mulakan perniagaan ini dengan modal RM150, permintaan yang diterima sangat baik hingga membolehkan saya membeli mesin parut kelapa dan mesin pembungkusan untuk memudahkan penghasilan buko pandan ini.
Beliau berkata menjelang Aidilfitri, pelanggan sudah mula membuat tempahan buko pandan untuk dihidangkan kepada tetamu.
-- BERNAMA