Pulau Pinang pengimport utama kurma bernilai RM20.3 juta pada Feb 2022 - DOSM

12/04/2022 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 12 April  (Bernama) -- Malaysia mengimport kurma bernilai RM48.1 juta pada Februari 2022 dan di peringkat negeri, Pulau Pinang mencatatkan import tertinggi bagi kurma iaitu RM20.3 juta, diikuti Selangor (RM15 juta) dan Kuala Lumpur (RM6.9 juta), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sebagai persediaan kepada permintaan semasa bulan Ramadan, Malaysia telah mula mengimport kurma beberapa bulan sebelum bulan puasa bagi memenuhi keperluan penduduk, katanya dalam satu kenyataan mengenai statistik eksport import mengikut negeri bagi bulan Februari 2022.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata DOSM sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Jan, 2022 sehingga 31 Dis, 2022.

"Jabatan ini amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada pegawai DOSM serta menjayakan survei ini,'’ katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.dosm.gov.my

-- BERNAMA