Rezeki bulan Ramadan, bekalan 'pitih Raya' menjelang Aidilfitri - Peniaga

12/04/2022 04:43 PM

TANAH MERAH, 12 April (Bernama) -- Ramadan bukan saja memberi kelebihan dari segi ganjaran ibadat, malah ia juga merupakan 'bulan rezeki' kepada sebahagian besar masyarakat di Kelantan khususnya golongan belia untuk berniaga, bagi menjana pendapatan tambahan sebagai 'pitih raya' menjelang Aidilfitri nanti.

Tinjauan Bernama di beberapa bazar Ramadan sekitar Tanah Merah mendapati, setiap jarak antara 50 hingga 500 meter, pasti terdapat beberapa gerai jualan didirikan sepanjang jalan dengan pelbagai juadah berbuka puasa seperti kuih-muih, lauk-pauk dan minuman oleh golongan muda.

Salah seorang peniaga yang ditemui, Tuan Fakhira Tuan Abdul Razak, 25, berkata Ramadan kali ini, beliau mengambil kesempatan untuk berniaga Roti John, selepas berhenti kerja di salah sebuah kilang dekat Lembah Klang bulan lepas.

“Saya menggunakan semula gerai burger terbiar di hadapan rumah yang ditinggalkan abang saya untuk memulakan perniagaan ‘Roti John’, bagi mencari duit lebih untuk perbelanjaan hari raya dan keperluan harian.

“Saya berkongsi modal dengan sepupu saya Tuan Fahmi Tuan Zainal Abidin, 23, untuk memulakan perniagaan ini dan hanya menggunakan RM100 sehari untuk membeli bahan-bahan tersebut seperti roti, ayam dan daging cincang serta sayur-sayuran,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya dekat Kampung Padang Siam, di sini hari ini.

Tuan Fakhira berkata beliau mampu menjual antara 45 ke 50 biji Roti John sehari dengan harga RM5 sebiji, selain turut mempromosikan perniagaannya itu menerusi laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Sementara itu, peniaga air tebu Mohd Al-Ami Noor, 23, pula berkata setiap tahun beliau akan berniaga pada bulan Ramadan bagi mencari 'pitih raya', untuk kegunaan sendiri dan keluarga.

“Sejak dibangku sekolah menengah lagi saya sudah berniaga air tebu, dengan menjualnya pada harga RM2 hingga RM4 sebungkus mengikut saiz.

“Malah, saya tidak ada masalah untuk mendapatkan bekalan tebu, kerana bapa saya telah menanamnya di belakang rumah,” katanya yang mempunyai strategi pemasaran sendiri untuk melariskan jualan air tebunya itu.

-- BERNAMA