Bumbung rumah terbang, rosak dilanda ribut di Selama
SELAMA, 12 April (Bernama) – Sebanyak 35 buah rumah di tiga buah kampung di Sungai Bayur, Selama rosak di bahagian bumbung selain diterbangkan akibat dilanda angin kuat dan hujan lebat petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu membabitkan 20 kediaman di Kampung Garok, 13 di Kampung Damak dan dua di Kampung Sungai Berdarah yang turut menyebabkan beberapa pokok tumbang sekali gus menjejaskan bekalan elektrik dan talian telekomunikasi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tinjauan Bernama di lokasi terbabit hari ini mendapati beberapa penduduk sedang membersihkan kawasan rumah dengan menggunakan jentera dan gergaji berantai untuk memotong pokok yang tumbang selain membersihkan kawasan persekitaran.
Faridzul Rohaizak Sulaiman, 56, seorang penduduk di Kampung Garok, berkata kejadian itu disedarinya ketika sedang bekerja di rumah apabila tiba-tiba air hujan memasuki rumah selepas bumbung diterbangkan angin kuat dan menyebabkan kerugian lebih RM20,000.
Seorang suri rumah Roshaniza Sulaiman, 57 berkata beliau sedang berehat sewaktu kejadian sebelum dikejutkan dengan kipas angin jatuh selain melihat sendiri kerosakan pokok dan beberapa bahagian atap rumahnya.
Dalam pada itu, Penghulu Mukim Ulu Selama, Khairul Azhar Harun berkata seramai 30 keluarga sudah membuat laporan polis mengenai kejadian ribut tersebut setakat pukul 12 tengah hari tadi untuk tujuan tuntutan insurans dan mendapatkan bantuan kebajikan daripada pihak berwajib.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama Mohd Akmal Kamarudin berkata pihaknya telah bertindak pantas dengan turun ke lokasi membeli makanan di Bazar Ramadan dan diserahkan kepada mangsa untuk juadah berbuka puasa ekoran kejadian itu.
“Kita sediakan juadah berbuka kerana kita faham masalah mereka. Ini langkah awal yang dapat kita bantu. Saya lihat di lokasi memang teruk, kayu pokok tumbang. Saya akan berusaha mendapatkan bantuan.
Hari ini agensi kerajaan, pejabat daerah dan Baitulmal juga telah turun ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut. Ini ujian Ramadan, Insya-Allah kita bantu sebaik mungkin,” katanya.
-- BERNAMA