FAMA teruskan program Semarak Ramadan di Baling
ALOR SETAR, 12 April (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meneruskan Program Semarak Ramadan dengan mengadakan beberapa pengisian aktiviti kebajikan bersama komuniti setempat di Daerah Baling, semalam.
Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata program dengan kerjasama strategik Bank Rakyat itu bertujuan mendekatkan FAMA dengan golongan sasar selain menyantuni mereka semasa bulan Ramadan ini.
“Pengisian aktiviti di Baling termasuk melibatkan majlis dialog bersama petani dan pengumpul buah-buahan bermusim daerah Baling yang melibatkan seramai 40 petani dan pengumpul serta usahawan muda.
Turut diadakan ialah majlis menandatangani perjanjian jual beli di antara Pusat Operasi FAMA Sungai Petani melibatkan 11 orang petani Kluster Rambutan Daerah Baling yang melibatkan anggaran nilai belian sebanyak 75.5 tan metrik dengan nilai RM122,400,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya FAMA bersama Bank Rakyat di Baling turut menyerahkan sumbangan kit makanan kepada 80 orang penerima yang melibatkan lima kariah di bawah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bongor Sekolah, Mukim Bongor.
Menurutnya, penerima sumbangan kit makanan itu terdiri daripada golongan asnaf dan kumpulan B40 melibatkan 45 orang dari Desa Keda Banggol Petai, 10 orang penerima dari Kampung Lahar, lapan orang penerima dari Kampung Mak Liah, lapan penerima dari Kampung Bongor Sekolah dan sembilan penerima dari Kampung Banggol Saga.
Zainal Abidin berkata penganjuran Program Semarak Ramadan FAMA merupakan inisiatif serampang dua mata dan ia bukan sahaja dapat mendekatkan peranan agensi ke lokasi program, malah membawa bersama sumbangan pihak lain yang turut sama menyumbang.
Katanya, bagi Ramadan tahun ini Bank Rakyat menyalurkan sumbangan bernilai RM414,000 kepada FAMA dalam bentuk kit kebajikan makanan untuk disumbangkan kepada hampir 2,070 orang asnaf di seluruh negara.
“Setiap penerima akan menerima kit makanan bernilai RM200 bagi memenuhi keperluan makanan dan keperluan asas. Sumbangan ini amat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang diterapkan oleh kerajaan bagi mengetengahkan hasrat rakyat Malaysia yang prihatin dan sentiasa bersatu untuk saling bantu membantu antara satu sama lain,” katanya.
Kata beliau, setiap lokasi jelajah program itu turut diadakan aktiviti penyampaian perkhidmatan FAMA dan Bank Rakyat bagi memudahkan komuniti setempat memahami peranan dan tugas yang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pihak berkepentingan.
-- BERNAMA