Segelintir peniaga, pengunjung bazar Ramadan di Perak langgar SOP

12/04/2022 06:11 PM

IPOH, 12 April (Bernama) -- Terdapat segelintir peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan di Perak tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti tidak memakai pelitup muka dengan betul serta tidak mengimbas kod MySejahtera di pintu masuk bazar.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kesalahan itu dikenal pasti hasil pemantauan pihaknya di bazar Ramadan di bandar raya Ipoh baru-baru ini yang mendapati segelintir peniaga dan pengunjung bazar sudah mula cuai serta tidak mengamalkan SOP ditetapkan.

"Ada berlaku sedikit pelanggaran SOP, orang ramai sudah mula leka dan cuai, sebagai contoh kod QR MySejahtera ada diletakkan di setiap pintu masuk bazar tetapi ada yang tidak mengimbasnya.

"Jadi, selepas ini kita akan turun (melakukan pemantauan SOP) untuk laksanakan bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan yang lain," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Agama Kristian, Hindu dan Buddha di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata pihaknya meminta kerjasama peniaga termasuk pengunjung bazar Ramadan supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaaan bagi mengekang wabak COVID-19 walaupun ketika ini negara sudah beralih kepada Fasa Peralihan ke Endemik.

Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan program 1 Pegawai Polis 1 Rumah Ibadat sama seperti 1 Pegawai Polis 1 Masjid sebelum ini dan telah meminta semua ketua polis daerah untuk melaksanakan program tersebut dalam masa terdekat yang bertujuan meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti pencegahan jenayah dengan menyalurkan maklumat jenayah kepada polis.

Katanya, ketika ini terdapat 1,375 rumah ibadat selain Islam di Perak.

-- BERNAMA