Pekerja asing : Sektor perkilangan perlu lengkapkan keperluan penginapan

12/04/2022 09:03 PM

JASIN, 12 April (Bernama) -- Pengendali sektor perkilangan di negeri ini dinasihatkan agar segera melengkapkan keperluan rumah penginapan, bagi melancarkan permohonan mereka mendapatkan pekerja asing.

Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata ini berikutan, masih ada pengendali dalam sektor tersebut dan juga di bidang perladangan dan pembinaan, masih gagal melengkapkan keperluan tersebut.

“Pengendali sektor-sektor ini perlu lengkapkan keperluan rumah penginapan dengan segera, dan seterusnya mendapat perakuan dari Jabatan Tenaga Kerja. Apabila sudah dapat perakuan tersebut, baru layak memohon pekerja asing untuk kerja di sektor mereka.

“Mereka perlu segera melakukannya, kerana sejak sempadan dibuka, senarai permohonan untuk mendapatkan pekerja asing sudah panjang. Hanya menanti ‘lampu hijau’ kementerian berkaitan sahaja untuk dibenarkan pekerja asing masuk,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan dan pemeriksaan di Bazar Bandar Baru Merlimau di sini hari ini.

Mengulas mengenai lawatan dan pemeriksaan tersebut beliau mengakui agak berpuas hati dengan harga dan tahap kebersihan bazar tersebut, termasuk beberapa bazar yang sudah dilawati sepanjang tempoh 10 hari Ramadan.

“Aduan memang ada tapi banyak mengenai tidak meletakkan tanda harga. Untuk harga, rata-rata peniaga bazar masih menjual pada harga munasabah,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka Muhamad Aizudin Mohd Said berkata sebanyak 1,650 premis telah diperiksa sepanjang April ini.

“Manakala sebanyak 183 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai akta terutama melibatkan pencatutan dan tanda harga sejak Januari hingga semalam dengan nilai rampasan bernilai RM102,256.30 dan menerima sebanyak 170 aduan bagi tempoh yang sama,” katanya. 

--BERNAMA