Polis pantau aktiviti jual mercun, bunga api di Bazar Ramadan

13/04/2022 04:48 PM

ALOR SETAR, 13  April (Bernama) -- Polis Kedah meningkatkan pemantauan di seluruh bazar Ramadan di negeri ini bagi membanteras kegiatan penjualan mercun dan bunga api tanpa lesen yang boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata pemantauan lebih kerap akan dilakukan terutama di penghujung Ramadan apabila penjualan mercun dijangka semakin ‘rancak’ terutama di kawasan bazar Ramadan dan lokasi tumpuan orang ramai.

“Kami memang ada pasukan pemantau di bazar Ramadan dan ada dua atau tiga tangkapan (kerana menjual mercun dan bungai api) tapi tidak melibatkan jumlah rampasan yang besar.

“Tapi dalam tempoh dua tiga minggu lagi kami akan pantau lebih kerap kerana dipercayai ada usaha membawa masuk mercun dan bunga api ke negara ini di hujung Ramadan. Polis nak pastikan hanya yang berlesen saja boleh jual dan yang tak berlesen ini kami akan ambil tindakan tegas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dan katil sumbangan Yayasan Petronas kepada bekas Ketua Polis Balai Kota Putra Sarjan Mejar Ahmad Tajuddin Mehat di rumahnya di Jalan Wang Tepus di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Hassan berkata polis Kedah menerusi Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) kini bersiap sedia menghadapi peningkatan jumlah kenderaan yang akan memasuki negeri ini sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Saya jangkakan pertambahan kenderaan dari luar ini mencecah ratusan ribu selepas dua tahun tak dapat pulang ke kampung halaman akibat pandemik COVID-19. Ini termasuk kenderaan yang melalui Kedah untuk pulang ke Kelantan dan negeri-negeri lain,” katanya.

-- BERNAMA