Gulai ikan utara ibu Sharifah imbau kenangan anak rantau di Melaka
MELAKA, 13 April (Bernama) -- Rempah-ratus yang digiling sendiri antara rahsia membuatkan sajian masakan utara terutama gulai ikan hasil air tangan Sharifah Hanum Md Haron mempunyai rasa dan aroma berbeza.
Bukan menidakkan teknologi moden, tetapi kaedah tradisional itulah yang membawa wanita berusia 59 tahun itu ‘berkelana’ ke Melaka sepanjang Ramadan ini apabila lima menu istimewanya menjadi pilihan hotel berprestij Casa del Rio Hotel di sini.
Justeru, demi mengekalkan keaslian masakannya beliau sanggup membawa sendiri semua alatan termasuk batu giling dari kediamannya di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Saya dah biasa sediakan rempah sendiri menggunakan batu giling kerana kalau dikisar guna mesin, rasa masakan akan berbeza," katanya yang ditemui pada majlis Pelancaran Rasa-Rasa Casa Buffet Dinner di sini, baru-baru ini.
Beliau yang mesra disapa Ibu Sharifah mengakui langsung tidak menyangka ditawarkan peluang tersebut mesikpun pada awalnya agak keberatan menerimanya.
Katanya selepas sebulan berfikir dan dipujuk oleh Ketua Cef Hotel Casa Del Rio Yusgausran Yahaya, akhirnya beliau bersetuju untuk merealisasikan tema hidangan malam 'Masakan Khas Ibu Sharifah' di hotel tersebut.
"Rasa bimbang juga sebab asalnya saya hanya berniaga kecil-kecilan di tepi jalan sebelum menerima tempahan untuk katering.
“Alhamdulilah, sambutan orang ramai yang datang berbuka puasa di sini sangat bagus dan rata-rata mengatakan gulai ikan dan menu ala nasi kandar bersama lauk ayam varuval serta kobis goreng yang disediakan membuatkan mereka seakan berada di Pulau Pinang," katanya yang berpengalaman selama 20 tahun dalam dunia perniagaan makanan.
Sementara itu, Yusgausran berkata konsep dan tema kali ini secara tidak langsung mengimbau kembali nostalgia berbuka puasa bagi kalangan perantau yang berada di Melaka.
“Tahun ini kami berkolaborasi dengan Ibu Sharifah untuk menyediakan menu asli nasi kandar Pulau Pinang yang ‘dibawa’ ke Melaka bersama lebih 100 hidangan bufet bertemakan Aneka Selera Desa.
“Air tangan Ibu Sharifah memang tidak asing di Pulau Pinang. Keenakan nasi kandar bersama lauk ayam varuval, daging masak hitam pedas ini pasti tidak akan dilupakan pengunjung," katanya.
-- BERNAMA