Bazar Ramadan Labuan disaran laksana sistem bayaran tanpa tunai

13/04/2022 08:38 PM

LABUAN, 13 April (Bernama) -- Senator Datuk Bashir Alias menyarankan agar semua bazar Ramadan di pulau bebas cukai ini melaksanakan pembayaran tanpa tunai untuk mempercepatkan perkhidmatan dan mengurangkan kemungkinan penularan jangkitan COVID-19. 

Beliau berkata “kita buka sahaja dapat meminimumkan kontak fizikal dan mengawal penularan COVID-19, tetapi juga mempercepatkan perkhidmatan.

“Pelanggan hanya perlu muat turun aplikasi mobil e-dompet, tambah nilai tunai dan imbas kod QR peniaga untuk membuat pembelian.

“Kita mahu menggalakkan orang ramai supaya bertukar dari kaedah bayaran tradisional kepada pembayaran tanpa tunai,” katanya kepada pemberita selepas melawat Bazar Ramadan Labuan Walk bersama petugas Jabatan Kesihatan Labuan di sini hari ini.

Bashir dan Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari menyampaikan risalah kesedaran kesihatan dan apron kepada peniaga.

Sementara itu, Dr Ismuni berkata petugasnya telah melaksanakan pensampelan makanan ‘sedia dimakan’ (ready-to-eat) iaitu sekurang-kurangnya 39 sampel makanan telah diambil pada 11 April lepas untuk ujian makmal.

“Pendekatan kami lebih ke arah pendidikan dan kempen kesedaran kepada peniaga bazar, kami akan terus melakukan pemeriksaan (sehingga akhir Ramadan)… bukan untuk menghukum tetapi untuk mendidik peniaga mengenai kepentingan keselamatan makanan di bawah Akta Makanan 1983 kepada pelanggan,” katanya.

Dr Ismuni juga berkata trak kesihatan akan diletakkan di semua bazar Ramadan sebagai pusat sehenti kepada perkembangan terkini MySejahtera atau sebarang isu berkaitan vaksin, kempen COVID-19 dan kempen pendidikan kesihatan.

--  BERNAMA