Bazar Ramadan: Jabatan Kesihatan Terengganu keluar 153 notis

13/04/2022 08:55 PM

KUALA TERENGGANU, 13 April (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 153 notis atas pelbagai kesalahan dengan jumlah kompaun bernilai RM18,100 menerusi pemantauan di bazar Ramadan seluruh negeri setakat ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata pemeriksaan itu dijalankan oleh 278 anggota di 1,733 gerai jualan makanan dan minuman di 59 lokaliti bazar sejak 1 Ramadan lepas.

"Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah tidak memakai apron iaitu 72 kes, tidak memenuhi piawaian kebersihan diri (23 kes), menggaji pekerja yang tidak mempunyai latihan dan tidak mendapat suntikan tifoid (14 kes) serta lain-lain kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Pemeriksaan turut disertai 64 anggota daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tidak hanya terhad kepada premis atau gerai yang berdaftar dengan PBT sahaja untuk memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai adalah selamat dan bebas daripada pencemaran yang boleh memudaratkan pembeli," katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di Bazar Ramadan Batu Buruk di sini, petang tadi. 

Katanya, setakat semalam, pihaknya telah mengambil 122 sampel makanan secara rawak seperti menu yang menggunakan santan, aneka kerabu dan kuih-muih untuk diuji di makmal demi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual adalah terjamin.

Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata pihaknya juga telah mewujudkan sistem Kod QR yang boleh diimbas di pintu masuk setiap bazar Ramadan untuk memudahkan orang ramai membuat aduan mengenai kualiti makanan yang dijual dengan pantas.

"Dalam setiap pemantauan yang dilakukan, anggota dan penguat kuasa jabatan juga terus memberi nasihat kepada peniaga untuk memastikan makanan yang dijual tidak terdedah, pengendali makanan memakai pakaian yang lengkap dan bersih, serta tidak menjual semula makanan yang tidak habis pada hari sebelumnya bagi mengelak keracunan makanan.

"Kita juga nasihatkan, agar setiap individu yang menghantar makanan untuk dijual di mana-mana premis atau gerai di bazar Ramadan ini mempunyai alamat dan nombor telefon supaya memudahkan jabatan menghubungi mereka sekiranya berlaku sebarang kejadian seperti keracunan makanan," katanya.

-- BERNAMA