Aplikasi 'idamanXchange' galak aktiviti kitar semula dalam masyarakat
ALOR SETAR, 13 April (Bernama) -- Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd (EISB) sedang membangunkan aplikasi baharu dalam usaha menggalakkan aktiviti kitar semula dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata aplikasi yang dijangka dilancarkan pada Jun depan itu dikenali sebagai ‘idamanXchange’.
“Aplikasi ini bakal memudahkan masyarakat untuk merancang dan menghantar barangan kitar semula selain mendapat pulangan faedah kepada mereka. Buat masa ini, aplikasi ini sedang dalam proses ujian di peringkat dalaman syarikat bagi memastikan kelancaran penggunaannya nanti.
“Usaha kitar semula EISB ini adalah sebagai langkah untuk mengurangkan aliran sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah. Di Kedah, tapak pelupusan pun sudah hampir tamat tempoh jadi ini merupakan usaha yang baik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis prapelancaran idamanXchange dan Program Kongsi Rezeki Ramadan di perkarangan Stadium Darul Aman yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif EISB Zaki Abdul Aziz Daud dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah Nordin Amat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EISB Zaki Abdul Aziz Daud berkata jumlah barangan yang boleh dikitar semula dijangka meningkat pada bulan Ramadan terutamanya di bazar-bazar Ramadan yang banyak menjual makanan dan minuman di dalam plastik.
“Bulan Ramadan ini banyak yang membeli makanan dan minuman di bazar. Jadi, untuk elak penggunaan plastik bawalah bekas sendiri dan makanan dan minuman beli secara berpatutan dan jangan membazir,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah SWCorp Kedah Nordin Amat berkata janaan sisa pada bulan Ramadan di tapak pelupusan Kedah menunjukkan peningkatan sebanyak 27.48 peratus iaitu sebanyak 11,781.36 tan pada tahun ini berbanding 9,241.88 pada 2021.
“Penghasilan sisa makanan adalah lebih tinggi di bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Data yang dikongsikan oleh SWCorp bagi tahun 2015 juga menunjukkan bahawa sepanjang tempoh 30 hari Ramadan, sisa makanan yang terbuang adalah sebanyak 270,000 tan setiap tahun atau lebih kurang 9,000 tan sehari.
“Makanan yang terbuang ini cukup untuk diberi kepada 180 juta orang. Jadi, bagi mengelak daripada berlakunya pembaziran makanan, belilah dengan kuantiti yang boleh dimakan sahaja dan jangan membazir kerana ia akan memberikan kesan yang buruk dan mencemarkan alam sekitar dan menimbulkan masalah di tapak pelupusan,” katanya.
-- BERNAMA