Keberadaan Duta Komuniti bantu masyarakat terus patuh SOP

14/04/2022 08:49 PM

PUTRAJAYA, 14 April (Bernama) -- Keberadaan Duta Komuniti di bazar Ramadan Presint 3 di sini dilihat membantu para pengunjung untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Penjawat awam Fadli Daut, 34, yang mengunjungi bazar itu hari ini berkata inisiatif mewujudkan komuniti untuk memantau adalah baik kerana ia mengingatkan masyarakat supaya terus mematuhi SOP kerana negara belum lagi di fasa endemik.

"Jadi adalah bagus jika komuniti itu dapat mengingatkan orang awam supaya bersama-sama jaga dan patuh SOP supaya tidak lupa bahawa kita masih belajar untuk hidup bersama virus," katanya.

Suri rumah Sofia Moner, 36, berkata kewujudan Duta Komuniti dapat mendorong masyarakat supaya lebih berani menegur sesama sendiri jika ternampak individu yang tidak mematuhi SOP terutama di tempat awam.

"Orang awam akan lupa benda remeh seperti jaga jarak, pakai pelitup muka tetapi sebenarnya ia sangat penting untuk mengekang penularan COVID-19. Duta Komuniti ini amat membantu untuk terus mengingatkan masyarakat supaya terus patuh SOP demi kebaikan bersama," katanya.

Duta Komuniti yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya, Hasnul Hadi Ahmad berkata peranan Duta Komuniti adalah mengingatkan masyarakat untuk patuh SOP dengan teguran dilakukan secara beradab.

Hasnul berkata beliau telah diberikan latihan Training of Trainers (ToT) sebagai Duta Komuniti tentang peranan, SOP, skop kerja serta cara teguran yang betul kerana sukarelawan yang terlibat tiada kuasa untuk mengambil tindakan.

Beliau berkata Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya dengan seramai 250 ahli menjadi sukarelawan Duta Komuniti untuk meronda di kawasan tumpuan seperti di bazar Ramadan, kawasan lapang di hadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya, Festival Ramadan Putrajaya serta medan selera.

Rondaan dan pantauan oleh tiga sukarelawan selama sejam di setiap kawasan awam adalah untuk memastikan keadaan terkawal dan tidak sesak, katanya.

"Setelah dua tahun tanpa kemeriahan, kita faham rakyat teruja namun harap semua tidak leka kerana negara masih dalam fasa peralihan dan bukannya endemik," katanya.

Program Duta Komuniti  diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai penyelaras adalah berasaskan semangat kesukarelaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan usaha pembudayaan kawalan kendiri oleh komuniti semasa fasa peralihan ke endemik berjalan lancar. 

-- BERNAMA