PKNS agih RM60,000 zakat kepada 10 rumah anak yatim

14/04/2022 09:17 PM

SHAH ALAM, 14 April (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini mengagihkan zakat perniagaan berjumlah RM60,000 kepada 10 rumah anak yatim di sekitar Selangor bersempena Majlis Iftar Ramadan perbadanan itu di sini hari ini.   

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata sumbangan kepada rumah anak yatim di bawah seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam menyantuni golongan yang lebih memerlukan terutamanya anak-anak yatim.

“Ini merupakan tradisi kita di PKNS, sejak 2014 lagi kami akan mengagihkan sumbangan kepada pelbagai pihak seperti rumah orang tua, maahad tahfiz dan surau di sekitar Selangor.

“Untuk tahun 2022, setiap rumah anak yatim terpilih akan menerima RM6,000,” katanya kepada pemberita selepas majlis iftar itu di Shah Alam Convention Centre di sini.

Penerima zakat berkenaan adalah Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah, Rumah Amal Raudhatul Jannah, Asrama Kebajikan Anak-anak Yatim Sekendi, Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia dan Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Yatim Selangor.

Selain itu, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Anak Yatim Islam dan Miskin Sabak Bernama, Pusat Jagaan Asrama Kasih Yayasan Basmi Kemiskinan, Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, Rumah Aman (Shah Alam) dan Rumah Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah.

-- BERNAMA