JKNJ keluar 15 notis kompaun kepada pemilik, pengendali premis bazar Ramadan

14/04/2022 09:28 PM

AYER HITAM, 14 April (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengeluarkan 15 notis kompaun kepada pemilik dan pengendali premis di bazar Ramadan yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata notis itu adalah bagi minggu pertama Ramadan di negeri itu hasil pemeriksaan terhadap 2,009 premis.

Beliau berkata walaupun ada notis dikeluarkan, pihak JKNJ secara keseluruhan berpuas hati dengan tahap kebersihan di setiap bazar Ramadan di negeri itu yang rata-ratanya mencapai markah lebih 80 peratus.

“Setelah pemeriksaan dijalankan dalam minggu pertama Ramadan, tiada premis diarah tutup tetapi sebanyak 559 arahan pembetulan telah dikeluarkan kepada pemilik dan pengendali premis.

“Pada masa yang sama, kita juga mengadakan program pendidikan kesihatan di bazar Ramadan ini dengan 3,751 siri telah diberikan kepada pemilik dan pengendali makanan,” katanya pada sidang media selepas Program Tinjauan Mesra Aktiviti Keselamatan dan Kualiti Makanan Di Bazar Ramadan Bandar Baru Ayer Hitam hari ini. 

Ling juga berkata sebanyak 109 lokasi bazar Ramadan telah beroperasi dan 6,415 tapak premis dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan pada tahun ini.

Beliau berkata pada minggu pertama Ramadan, pihaknya turut melakukan aktiviti persampelan terhadap makanan berisiko tinggi.

“Antaranya ialah makanan berasaskan daging, makanan laut, makanan tidak dimasak atau produk yang menggunakan santan untuk mengetahui tahap kontaminasi mikrobiologi.

"Sejumlah 30 sampel makanan telah dihantar ke makmal bagi tujuan analisis untuk parameter mikrobiologi dan sedang dalam tindakan analisis," katanya.

-- BERNAMA