Ramadan pertama di sebalik tirai besi menginsafkan penghuni Penjara Sungai Petani

15/04/2022 11:55 AM

SUNGAI PETANI, 15 April (Bernama) -- Pertama kali menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan di sebalik tirai besi menimbulkan rasa sayu seorang penghuni Penjara Sungai Petani, di sini kerana tidak dapat berbuka puasa bersama keluarga.

Amran (bukan nama sebenar), 21, bagaimanapun terpaksa menahan perasaan itu kerana kesilapan yang dilakukan iaitu mencuri barang kemas di sebuah premis di Alor Setar pada Oktober tahun lepas menyebabkan dia kini menjalani hukuman penjara selama 16 bulan.

"Sebelum ini saya banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan, tak banyak berada di rumah dengan keluarga...sedih juga tak dapat beraya dengan keluarga nanti," katanya kepada pemberita pada Program Tautan Kasih Ramadan di Sebalik Tirai Besi anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah di Penjara Sungai Petani, semalam.

Menurut Amran, perasaan takut, sedih dan terkejut menyelubungi diri apabila kebebasan yang dinikmati selama ini disekat disebabkan satu kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Katanya, segalanya bermula apabila dia terpengaruh dengan rakan sebaya selain desakan hidup mendorongnya nekad mengambil jalan yang menyalahi undang-undang untuk mendapatkan wang.

"Saya dan rakan mencuri barang kemas malah rakan saya berjaya menjualnya di kedai pajak gadai dengan nilai RM38,000, tapi belum sempat kami bahagikan dan belanjakan wang terbabit, kami telah ditangkap selepas petugas kedai pajak gadai itu membuat laporan polis.

"Rasa takut, sedih, macam-macam perasaan, selepas dua hari kami mencuri terus ditangkap, memang tak boleh bayang apa akan terjadi," katanya yang disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun selepas dimasukkan ke penjara, Amran berkata dia mempelajari banyak perkara baharu termasuk ilmu agama selain membaca al-Quran untuk menjadi insan yang lebih baik sebelum dibebaskan nanti.

Seorang penghuni wanita penjara itu yang dikenali sebagai Nisha (bukan nama sebenar), 19, turut berasa sedih apabila tidak dapat bersama anak perempuannya yang berusia tiga tahun pada Ramadan dan Aidilfitri kali ini.

Nisha yang didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkata pertama kali menjalani ibadah puasa di sebalik tirai besi benar-benar menginsafkannya apatah lagi perasaan rindu yang amat kuat terhadap anaknya membuatkan dia kesal atas kesilapan dilakukan.

Sementara itu, Pengarah MKN Kedah Mohd Zawawi Zakaria berkata Program Tautan Kasih Ramadan di Sebalik Tirai Besi itu merupakan julung kali diadakan di Penjara Sungai Petani yang bertujuan meraikan Ramadan bersama penghuni di penjara itu.

Beliau berkata memandangkan penghuni penjara tidak dapat merasai nikmat Ramadan dan berbuka puasa bersama keluarga, MKN bertindak mengadakan program itu bagi mengubat kerinduan penghuni penjara terhadap keluarga masing-masing.

-- BERNAMA